Isu Zika Tak Jejas Industri Pelancongan Sabah – Masidi Manjun

731
Ilustrasi virus Zika dalam darah.
Ilustrasi virus Zika dalam darah.

KOTA KINABALU – Industri pelancongan di Sabah setakat ini tidak terjejas walaupun terdapat satu kes Zika yang dilaporkan di negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata beliau percaya pelancong masih yakin terhadap tahap kesihatan di negeri itu.

“Isu Zika tidak ada kesan ke atas ketibaan pelancong ke Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Zika dan kesannya terhadap sektor pelancongan di Sabah.

Pada 3 Sept lepas seorang lelaki berusia 61 tahun di Sabah terkena jangkitan Zika dan ia merupakan kes jangkitan virus Zika tempatan pertama dikesan di negara ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Pegawai Kesihatan Amerika Syarikat hari ini yang mencadangkan agar wanita hamil menangguhkan perjalanan ke 11 negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Masidi berkata pihaknya juga yakin ia tidak memberi kesan ke atas industri pelancongan di Sabah.

Pegawai Kesihatan Amerika Syarikat mencadangkan perkara itu kerana risiko jangkitan virus Zika telah terbukti menyebabkan kecacatan kelahiran yang teruk.