Isu Permohonan Visa Tertunggak Australia Akan Cuba Diselesaikan

KOTA KINABALU: Pihak Australia akan berusaha menyelesaikan isu permohonan visa tertunggak bagi membolehkan rakyat Malaysia berkunjung ke negara berkenaan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, beliau menyedari berlaku kelewatan dalam kelulusan pengeluaran visa kepada rakyat Malaysia hingga menyebabkan kesukaran kepada mereka yang ingin berkunjung ke Australia.

“Saya faham ada banyak tunggakan (permohonan visa) hingga menyebabkan kelewatan bagi rakyat yang mahu berkunjung ke Australia.

“Namun, semasa lawatan saya ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia di Kuala Lumpur beberapa hari lepas, mereka memaklumkan sedang berusaha menangani isu permohonan yang tertunggak tersebut,” katanya selepas mengadakan tinjauan mesra di Foh Sang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu dihadapi rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Australia.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Menteri Luar Australia itu ke Sabah selepas pelantikannya pada Mei lalu. Penny dilahirkan di Sabah dan merupakan anak kepada pasangan wanita Australia dan lelaki Cina yang berasal daripada Sabah.

Menurut beliau, Australia dan Malaysia mempunyai hubungan kerjasama yang baik sejak sekian lama maka, hubungan kerjasama itu akan terus diperkukuhkan.

“Kita mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan Malaysia malah, ramai rakyat Malaysia yang menyambung pengajian di Australia jadi, kita memang mempunyai hubungan yang kukuh. Selaku Menteri Luar saya melihat keperluan untuk kerajaan dan rakyat kedua-dua negara menjaga hubungan baik ini,” katanya.

Mengulas tentang peranan Australia di Laut China Selatan, Penny berkata, isu keselamatan di perairan Laut China Selatan bergantung kepada undang-undang antarabangsa.

Undang-undang antarabangsa di perairan itu perlu diambil kira oleh semua negara, begitu juga Australia.

Mengenai peranan wanita dalam Parlimen Malaysia yang dilihat agak kurang, Penny berkata, perkara itu terpulang kepada demokrasi di Malaysia.

Jika dilihat di Australia, keputusan pilihan raya yang lalu menunjukkan beberapa wanita dari pelbagai latar belakang dilantik dalam kerajaan dan itu perkembangan yang membanggakan.