Isu Minyak! Bukan Hanya 5% Royalti, Tambahan 20% Dari Keuntungan

1136
Chong Chieng Jen, kanan, dan Baru Bian.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan Sarawak menawarkan 20 peratus lagi daripada keuntungan hasil minyak untuk diberikan kepada negeri tersebut selain daripada lima peratus royalti yang diterima kini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata tawaran ini adalah jauh lebih baik daripada perkara yang ditawarkan Barisan Nasional yang hanya lima peratus royalti diberikan selama 45 tahun lepas.

“Kita berharap kerajaan negeri akan terus membincangkan perkara ini supaya agihan daripada sumber minyak Sarawak dikongsikan dengan adil,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini (Isnin).

Tambahnya, tawaran ini dirunding semula selepas kerajaan negeri Sarawak enggan mempersetujui tawaran sebelum ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk terus perjuangkan hak Sarawak dan satu jawatankuasa kabinet sudah ditubuhkan untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ditemani Ketua PKR Sarawak Baru Bian dan juga Ahli Parlimen Sarawak dari Pakatan Harapan. – Hafiz Marzukhi/Astro Awani

BERITA LANJUT: –

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/royalti-minyak-bukan-hanya-5-tambahan-20-dari-keuntungan-181724