Isu Membabitkan Pengusaha Ladang Sawit Dan Pekebun Getah Akan Diselesaikan

2270
Junz mengadakan perbincangan dengan Teresa mengenai isu-isu libatkan pengusaha ladang sawit dan pekebun getah di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Isu tertunggak berkaitan minyak sawit, getah dan hidupan liar terancam akan diselesaikan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, melalui pertemuan bersama Menteri Industri Utama (MPI) Teresa Kok, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dr Mariana Tinggal serta Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Harris Mathew di Putrajaya pada Selasa, beberapa persetujuan telah dicapai untuk menyelesaikan isu membabitkan pengusaha ladang sawit dan pekebun kecil getah di Sabah.

Beliau berkata, MAFI bersetuju untuk mengadakan pertemuan antara Teresa dengan pengusaha industri minyak sawit di Sabah pada April ini bagi memastikan pekebun kecil mematuhi standard Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Semasa pertemuan pada Selasa itu, isu berkaitan langkah meningkatkan penggunaan biodiesel untuk B30 dan penggunaan B100 untuk jentera berat turut dibincangkan. Malah, proses menukarkan minyak sawit kepada biodisel juga perlu mendapatkan persijilan yang betul.

Disamping itu, MAFI dan MPI juga akan bekerjasama mempromosikan kempen “Sayangi Minyak Sawitku” yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Teresa juga akan meneroka kemungkinan membina kilang penapisan minyak sawit dan kilang pembuatan coklat di Pantai Barat Sabah. Kajian kemungkinan akan dilaksana.

Mengenai ‘Bantuan Musim Tengkujuh’ untuk pekebun kecil getah di Sabah, Junz berkata, MPI akan menulis surat bagi memohon bantuan itu daripada Kementerian Kewangan.

“Untuk memperhebatkan lagi kerjasama dengan MPI, MAFI akan membantu dalam pelaksanaan beberapa projek. Salah satunya adalah dengan melibatkan penyertaan penggiat industri untuk menanam 1 juta pokok bagi kawasan hutan simpan di Sabah,” ujarnya.

Bagi melindungi gajah pula, Junz berkata MAFI akan bertindak sebagai fasilitator kepada Teresa dan Datuk Christina Liew.

“Kempen perlindungan terhadap gajah ini menyasarkan pemilik ladang sawit supaya menyediakan laluan untuk Gajah Pygmy Borneo sekiranya koridor hutan simpan itu berada di kawasan ladang mereka.

“Menerusi kempen ini, penggiat industri perladangan akan diminta untuk menanam pokok sebagai makanan kepada gajah di sepanjang laluan koridor berkenaan, ” jelasnya.