Isu Keahlian Salleh, Pimpinan PKR Perlu Nilai Pejuang Reformasi Sebenar

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Isu kemasukan Datuk Salleh Tun Said ke dalam PKR bukan sekadar isu keahlian pintu belakang tetapi kesannya cukup parah dan menjadi liabiliti kepada parti yang dikenali sebagai Penggerak Reformasi.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata, Salleh merupakan penyokong kuat Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan telah menjadi liabiliti dan menyebabkan kekalahan memalukan Kerajaan BN.

Beliau berkata, kes 1MDB sedang dibicarakan dan PKR tidak mahu parti ini terkait seolah-olah menyokong kes terbabit.

Ketua Cabang PKR Kota Belud ini berkata, Salleh selaku mantan Menteri Multimedia & Komunikasi kalah di Parlimen Kota Belud ditangan pengundi-pengundi terutama generasi muda yang muak dengan peranan utamanya sebagai ‘The Last Samurai’ yang menyokong Najib.

Mustapha berkata, beliau merasa terkesan dan berkongsi kebimbangan pimpinan dan ahli-ahli parti seluruh negeri.

Katanya, pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai yang bertembung dengan budaya politik wang yang mengakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

“Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa.

“Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi-potensi pimpinan terutama di kalangan generasi muda.

“Saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pimpinan parti perlu menilai secara adil antara pejuang reformasi dan ‘The Lost Samurai’.

Menurutnya, biarpun Datuk Christina dikatakan lemah tetapi tercatat dalam sejarah, beliau sebagai Pengerusi PKR Negeri yang berjaya menjatuhkan Kerajaan BN setelah berjuang selama 20 tahun.

Mustapha berkata, hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah telah banyak membuka ruang kepada pimpinan dan ahli-ahli parti mendapat manfaat sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Negeri.

Namun, ironinya yang mendapat dan menikmati jawatan penting yang menyokong beliau selaku Timbalan Ketua Menteri sekarang ini menjadi penyokong utama kemasukan Salleh ke dalam parti.

Beliau berharap pimpinan pusat terutama Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang adil.

“Kami sayangkan parti yang kami dokong sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan beliau untuk menjadi PM kelapan dipermudahkan.

“Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku,” jelasnya.

Katanya, ramai lagi pejuang-pejuang yang tidak didendang seperti unsung hero perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti.

“Saya akan teruskan perjuangan dalam mendidik masyarakat memahami politik nilai dan politik perubahan selagi diperlukan oleh parti.

“Jika akhirnya saya dikorbankan saya tetap rasa bahagia kerana meninggalkan legasi kepimpinan buat panduan generasi muda dalam meneruskan perjuangan,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN :-

Salleh Said Keruak Politikus Sejati Yang Mencari Penyambung Nyawa

Permohohan Salleh Belum Dipertimbangkan PKR – Anwar

AMK Kota Belud Tolak Salleh Kerana Rekod Buruk, Licik