Istiadat Angkat Sumpah Menteri Kabinet Bermula

KUALA LUMPUR: Istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri Kabinet baharu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini hari ini.

Turut berangkat pada istiadat yang bermula pada 2.30 petang itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan hadir bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian selepas terpaksa menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19.

Selain itu, turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

Majlis itu berlangsung susulan pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu oleh perdana menteri pada Jumaat lepas.

Saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri itu terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. 

Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka pada 20 Ogos lepas.

Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.