Ismail Sabri: Sabah Ada Autonomi Benarkan Pekerja China Masuk

ISMAIL SABRI

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam Akta Imigresen untuk membenarkan pekerja China masuk ke negeri ini.

Ismail Sabri berkata, kuasa autonomi itu membolehkan Sabah membuat keputusan sendiri tanpa perlu memaklumkan kepada jawatankuasa yang dipengerusikannya di peringkat Persekutuan.

“Daripada segi Akta Imigresen Sabah ada mempunyai autonomi daripada segi Akta Imigresen sebab itu bila saya sekat kemasukan semua warga asing terutamanya warga china kerana warga China dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi daripada segi Covid-19 di sini terima walaupun dia tak bincang dengan jawatankuasa yang saya pengerusikan.

“Tetapi negeri mempunyai kuasa autonomi daripada segi Imigresen jadi terserah kepada negeri,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan UMNO Sabah semalam.

Dalam usaha melonjakkan semula ekonomi negeri, Kerajaan Sabah baru-baru ini memberi kebenaran kepada pekerja asing dari China yang mempunyai kepakaran tertentu untuk masuk ke Sabah bagi meneruskan projek-projek yang terbengkalai.

Kebenaran tersebut bagaimanapun perlu mematuhi setiap syarat yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbarnya di Putrajaya, Ismail Sabri yang ditanya wartawan memaklumkan Sabah membuat keputusan itu tanpa berbincang dengan Persekutuan.

Kenyataannya itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak-pihak yang tidak memahami kuasa autonomi yang dimiliki Sabah.