Ismail Sabri Lancar Projek Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur

KINABATANGAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur yang bernilai RM877juta di sini hari ini.

Projek lebuhraya sepanjang 58 kilometer (km) itu dilihat mampu memacu ekonomi Sabah dan seterusnya memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.

Beliau berkata, projek itu akan membantu membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di Sabah.

Di samping itu, ia juga akan membantu memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang laluan Kinabatangan-Telupid.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya ini membabitkan pakej kerja 28,29 dan 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid dan ini adalah tambahan kepada 11 pakej kerja yang dimulakan pembinaan seawal tahun 2016.

“Skop pembinaan tiga pakej kerja ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan sedia ada dari dua lorong kepada empat lorong dari KM 32 Sandakan ke Sungai Baoto serta pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.

“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024,” katanya semasa majlis pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur.

Secara keseluruhan pembinaan jalan baharu dan naik taraf bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini membabitkan laluan sepanjang 706km yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja dan setakat ini, 16 pakej telah dan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, pembangunan di Sabah tidak akan terhenti setakat ini kerana kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan di Sabah dapat diteruskan demi manfaat rakyat di negeri ini.

Mengulas lanjut katanya, projek lebuh raya ini akan membuka ruang penglibatan rakyat tempatan Sabah untuk dilantik sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia di Sabah.

Jelasnya, hasrat kerajaan persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan melaksana sebanyak 105 projek menaik taraf kemudahan infrastruktur di Sabah dengan peruntukan RM1.9 bilion. Ia termasuk projek menaik taraf jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM12 juta bagi membina bangunan baharu Dewan Serbaguna Kota Kinabatangan, Pasar Awam Kota Kinabatangan dan pusat pelupusan sampah.