IS Di Sandakan? Dua Lelaki Ditahan, Polis Enggan Mengulas Lanjut

2352
Gambar ini diambil oleh penduduk  Sandakan dan dimuat naik di Whatsapp. Gambar ini yang telah diviralkan menunjuk anggota polis yang bertopeng dan bersenjata api.

Oleh PEMBERITA BORNETODAY
SANDAKAN: Dua lelaki, disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan keganasan, ditahan pasukan polis khas dari Kuala Lumpur petang Khamis berdekatan Masjid Jamek As-Sheikh Hasbollah di Jalan Lebuh Empat tidak jauh dari Jalan Buli Sim Sim.

Polis pada mulanya enggan mengulas tentang kejadian yang berlaku antara jam 12.30 dan 3.45 petang berdasarkan azan yang kedengaran dalam klip video yang menjadi ‘viral’ di laman media sosial.

Namun, selepas jam 8 malam laporan ringkas New Straits Times memetik Ayob Khan Mydin Pitchay, timbalan pengarah Bahagian Anti-Pengganas di Bukit Aman mengesahkan kejadian dan tangkapan yang dibuat.

Beliau juga berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan tanpa mengulas lanjut.

Awal lagi, ketua polis daerah Sandakan, Supt Azhar Hamin berkata polis ada buat beberapa tangkapan tetapi enggan memberi maklumat lain. Tambah beliau, semua berita nanti akan dikeluarkan oleh Bukit Aman, ibu pejabat polis di Kuala Lumpur.

Dipercayai sekumpulan lima orang militan membuat persinggahan di Sandakan sebelum meneruskan perjalanan ke Marawi di Pulau Mindanao yang sedang mengalami pertempuran bersenjata.

Kehadiran mereka di Sandakan diketahui polis yang segera bertindak sebelum kumpulan itu dapat bergerak semula.

Pelbagai spekulasi timbul selepas tangkapan dibuat di khalayak ramai dan ada yang menganggap insiden itu satu latihan atau ‘drill’ polis sehinggalah Bukit Aman mengesahkan tangkapan telah dibuat.