Integriti tinggi dan kecekapan baik penting dalam perlaksanaan perolehan

Jaujan (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta dalam kursus berkenaan.

Oleh Azis Khan

SANDAKAN: Sikap integriti tinggi serta kecekapan baik amat penting dalam usaha melaksanakan perolehan dengan baik sama ada untuk projek kerja mahupun projek bekalan.

Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong berkata, setiap kerja harus diselesaikan mengikut tempoh masa yang ketat dan ini dapat dicapai dengan adanya perancangan yang teliti.

Beliau yang juga sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pada era norma baharu ini, sememangnya semua pihak berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama sekali untuk memulihkan semula ekonomi ke tahan yang lebih baik.

“Salah satu peranan yang boleh dimainkan adalah melalui pelaksanaan pengurusan perolehan yang cekap dan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

“Penganjuran kursus ini amat bertepatan dan mampu merancakkan lagi pembangunan ekonomi. Strategi pelaksanaan perolehan atau projek perlu dilakukan dengan penuh integriti dan cekap agar dapat memberikan impak berganda kepada ekonomi negara dan khususnya di Sabah,” katanya ketika merasmikan Kursus Pengurusan Perolehan 2020, di sini pada malam petang Jumaat.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam, anda selalu diingatkan betapa pentingnya peranan anda untuk sentiasa mendalami tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Anda semua perlu sentiasa meningkatkan kemahiran serta tahap kompetensi diri masing-masing, jangan mudah leka dan berasa selesa dengan kedudukan yang ada sekarang melainkan terus bersaing antara satu dengan yang lain secara sihat demi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan sentiasa berada pada tahap yang membanggakan.

“Anda semua perlu peka terhadap isu-isu sesama kerana ianya banyak mempengaruhi proses kerja sedia ada,” katanya.

Katanya, kerajaan telah mengumumkan Pakej Ransangan ekonomi pada Februari lalu dan melaluinya beberapa langkah pengecualian khas secara interim terhadap tatacara perolehan kerja kerajaan.

Jaujan turut menjelaskan bahawa peranan ketua jabatan sangat penting dalam memantau serta menyelia kerja-kerja yang dilaksanakan pegawai-pegawai bawahan.

Katanya, pendekatan lebih strategik dan tersusun perlu diambil bagi memastikan pentadbiran di peringkat jabatan secara keseluruhannya sentiasa berada pada tahap yang terbaik sejajar dengan hasrat dan visi kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, Jaujan turut mengingatkan agar semua pihak dalam masyarkaat perlu terus berwaspada dengan ancaman jangkitan COVID-19.

“Sentiasa patuhi SOP disediakan dan mengelakkan kawasan yang sesak, tempat yang sempit setra tertutup dan bersembang secara dekat-dekat.

“Sentiasa amalkan cuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka dan jangan berdekatan, lakukan disinfeksi, amalkan etika batuk, serta duduk di rumah,” katanya.