Institusi Mahkamah Anak Negeri Perlu Terus Diperhebat

PENAMPANG: Institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) perlu terus diperhebatkan dalam memastikan usaha memelihara adat resam dan budaya masyarakat Orang Asal di Sabah terus terpelihara.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kewujudan institusi MAN akan membantu menguruskan adat resam dan adat istiadat masyarakat dengan lebih baik dan teratur.

Beliau berkata, institusi MAN membolehkan individu menuntut dan mempertahankan hak dan budaya istiadat mereka dengan lebih baik.

“Kita mahu budaya masyarakat pelbagai kaum di Sabah ini terus dijaga dengan baik agar ianya dapat dinikmati dan dipelihara demi kepentingan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui semasa Lawatan ke Mahkamah Anak Negeri Penampang, di sini pada Jumaat.

Mohd Shafie berkata, warisan budaya nenek moyang perlu dipertahankan dan dikekalkan agar masyarakat secara keseluruhan mengetahui adat resam mereka.

“Kewujudan prasarana yang cukup baik dan moden ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat kita. Ia kerana MAN bukan hanya untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan adat tetapi juga masalah penceraian,” ujarnya.

Mohd Shafie percaya bangunan MAN Penampang yang siap sepenuhnya pada hujung tahun lalu ini akan dapat digunakan pada tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau yakin dalam tempoh 2-3 tahun lagi MAN Tambunan juga akan mula digunakan, begitu juga MAN Ranau.

Katanya, beliau mahu kemudahan sebegini memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat.