Insiden Tumpahan Gam di Keningau : 2 Loji Rawatan Air Ditutup

KENINGAU : Loji rawatan air Tenom dan Lagud Sebrang telah diarah tutup sejak semalam berikutan pencemaran Sungai Bariawa Ulu dan Sungai Pegalan, Keningau akibat insiden tumpahan gam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Amirul Aripin berkata kerja-kerja pembersihan dan mengambil sampel air sungai, giat dijalankan.

Katanya, status kualiti air sungai dipantau sehingga benar-benar selamat dan tidak menjejaskan kesihatan awam.

Menurut laporan Buletin Utama TV3, sampel air di sungai terjejas telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ia membabitkan kira-kira 7 lokasi pensampelan di sekitar 10 kilometer di sepanjang Sungai Bariawa dan 50 kilometer sepanjang Sungai Pegalan sehingga ke loji rawatan air Tenom dan loji rawatan air Lagud Sebrang.

Syarikat pengeluar dan pengangkut bahan kimia yang terlibat dalam insiden tumpahan itu telah diarahkan membuat kerja pembersihan yang masih dijalankan sehingga kini.

Ia mengikut penguatkuasaan JAS di bawah Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2005.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dalam kenyataan berasingan semalam menasihatkan penduduk agar tidak menggunakan air dari Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan susulan kejadian tumpahan gam akibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan gam di Simpang Bariawa, Jumaat lalu.

Walter meminta penduduk kampung yang tinggal di kawasan Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan agar tidak menggunakan air sungai itu sehingga disahkan selamat oleh JAS.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Bariawa Ulu, Bariawa Tengah, Bariawa Laut, Lingkudou, Durok, Masak, serta Ansip.

Penduduk juga diminta memaklumkan sahabat serta saudara mara yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan agar menghindari air sungai itu.

“Tumpahan kimia (gam) mengandungi bahan Phenol Formaldehyde Resin yang dikategorikan sebagai toksik dan berbahaya kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar.

“Jika sekiranya terdapat penduduk yg mengalami masalah kesihatan akibat penggunaan air dari sungai diminta segera ke hospital atau klinik perubatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kassim, berkata dalam kejadian jam 11.40 malam Jumaat lalu itu, sebuah lori treler dari Kota Kinabalu menuju kilang papan lapis Kosinar di Sook, telah hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek, semasa menuruni bukit sebelum terbabas dan terlanggar tebing bukit di Simpang Bariawa.

Pemandu lori tidak cedera, bagaimanapun kemalangan itu mengakibatkan lori berkenaan pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

“Pasukan dari Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia telah melakukan pemantauan di tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk tindakan lanjut. Laporan lanjut telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang aktiviti di sungai itu yang disyaki tercemar,” katanya menerusi kenyataan semalam.