Insiden Meraba Penyelam China, Tiada Laporan Polis Dibuat

Gambar Hiasan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden dive instructor didakwa meraba dua pelancong China ketika menyelam di Semporna supaya tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Peter Umbuas berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berkenaan insiden itu.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi maka, beliau berharap seseorang akan tampil ke hadapan bagi membuat laporan polis agar siasatan boleh dilakukan.

“Dalam kes sebegini, sudah tentu saksi utama kita adalah mangsa. Tanpa laporan mangsa, kita tidak boleh melakukan siasatan lanjut” katanya.

Peter Umbuas

Pada Sabtu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya telah mengarahkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan.

”Saya sudah meminta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah untuk menjalankan siasatan kerana mereka tahu siapa pengusaha pelancongan dan pusat selaman yang terlibat.

”Kita berbangga kerana Semporna merupakan syurga untuk aktiviti selaman. Namun, kita tidak mahu insiden ‘kambing hitam’ sebegini mencemarkan imej Sabah. Kita tidak boleh menerima keadaan yang berlaku,” ujarnya.

Oleh itu, tindakan tegas akan diambil terhadap Dive Instructor yang didakwa melakukan gangguan seksual dengan meraba dua penyelam China yang menyertai aktiviti selaman di Semporna pada Mac lalu.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan terhadap syarikat selaman dan pengusaha pelancongan yang mengendalikan aktiviti selaman kedua-dua pelancong China berkenaan.

”Maka, kita akan mengambil tindakan tegas. Tiada keraguan tentang itu,” katanya.

Pada Sabtu, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) juga telah membuat laporan polis berhubung kes agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

Laporan polis berkenaan juga telah dikemukakan kepada Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Dalam laporan akhbar China, dua wanita dari Shenzen itu menyertai aktiviti selaman menerusi agensi pelancongan tempatan yang menghantar Dive Instructor lelaki untuk membawa mereka menyelam di Semporna.

Ketika berada di dasar laut, instuctor berkenaan mula menyentuh bahagian sensitif pada tubuh mereka dengan cara tidak sengaja.

Salah seorang mangsa pula memaklumkan instructor itu mula memegang tangannya kemudian menyentuh payudaranya beberapa kali. Tindakan itu dilihat memang disengajakan.

Mereka memfailkan aduan kepada agensi pelancongan terlibat dan instructor berkenaan juga terbukti cuba mengambil kesempatan terhadap kedua wanita itu. Agensi itu bersetuju membuat bayaran RMB 3,000 (RM1,841). Namun, bayaran itu tidak pernah diterima oleh pengadu selepas kembali ke China.