Insiden Bilal Masjid Al-Falah Maut, Ketua Menteri Digesa Salurkan Peruntukan Bina Jalanraya Dengan Ciri Keselamatan

KOTA KINABALU: Insiden seorang bilal Masjid Al-Falah, Kepayan, di sini, yang meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung setinggi tujuh meter, di perkarangan masjid berkenaan, Ahad lalu, mendapat perhatian Parti Warisan cawangan Kampung Kepayan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Bali Kalat, 73 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke Masjid Al-Falah untuk tugas bilal, bagi solat Zohor.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas ke gaung sedalam 7 meter dan terbalik sebelum berhenti sepenuhnya.

Akibat daripada kemalangan itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan dan dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE I oleh ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kita amat bersedih dengan kejadian ini dan berharap keluarga Allahyarham
redha dengan apa yang berlaku.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Masjid Al-Falah, Haji Malek Chua dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Allahyarham hilang kawalan ketika memandu mendaki bukit untuk ke masjid sebelum terjatuh ke dalam gaung,” kata Pemangku Setiausaha Warisan cawangan Kampung Kepayan, Kenneth Jayaraman.

Menurut Haji Malek, jika terdapat struktur penghadang yang dibina sejak siapnya masjid ini, insiden tidak diingini sebagaimana yang telah berlaku, boleh dielakkan.

Kenneth berkata beliau difahamkan tanah di kawasan Masjid Al-Falah dimiliki Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan masjid berkenaan menerima peruntukan minimal tahunan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), selain mengharapkan sumbangan jemaah masjid untuk membiayai kos asas operasinya.

Kenneth menggesa MUIS, JHEAINS atau Ketua Menteri sendiri untuk membantu Masjid Al-Falah, Kepayan dengan menyalurkan bantuan kewangan untuk pembinaan jalanraya yang sempurna dan dilengkapi pagar keselamatan untuk mengelakkan kemalangan sama berulang di masa hadapan.

“Jalan menuju Masjid Falah agak curam dan ada kalanya pemandu perlu memecut dan jika terlajak, apa juga bentuk struktur penghadang dapat memberhentikan kenderaan daripada terus terjunam ke dalam gaung.

“Kos membina struktur sedemikian mungkin di luar kemampuan Masjid Al-Falah.

“Sehubungan itu MUIS, JHEAINS dan campur tangan Ketua Menteri dapat membantu dari segi peruntukan kewangan,” kata Kenneth.

Kenneth yang diiringi Ketua Wira Bahagian Penampang Ridhwan Razak, menziarahi keluarga Allahyarham Bali dan turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.