Inisiatif Pengukuran Tingkat Nilai Tanah NCR di Sarawak

BAU: Satu daripada impian besar Micheal Dang Sui, yang merupakan Ketua Kampung Kampung Skio di sini, adalah memastikan setiap penduduk di kampung itu mempunyai geran tanah bagi meningkatkan nilai tanah milik mereka, sekali gus mengekalkan harta warisan bagi generasi akan datang.

Terima kasih kepada inisiatif kerja-kerja pengukuran tanah hak adat Bumiputera (NCR) di Sarawak, usaha itu kini secara beransur-ansur semakin menjadi kenyataan.

Pesara tentera berusia 63 tahun yang mengetuai kampung sejak14 tahun lepas, kini mampu tersenyum lebar dan menarik nafas lega apabila penantian mereka untuk mendapatkan geran tanah di kampung itu menjadi realiti, hasil pelaksanaan inisiatif pengukuran tanah hak adat oleh kerajaan negeri.

“Saya dan semestinya penduduk kampung berasa gembira apabila penantian selama berpuluh-puluh tahun mengusahakannya (untuk mendapat geran tanah)… kerana itu kami memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkenaan bagi memastikan proses ini (pengukuran tanah hak adat) berjalan dengan lancar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Tidak dapat menyembunyikan riak wajah kegembiraannya, beliau berkata pemilikan geran tanah itu bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang penduduk kampung meningkatkan pendapatan dengan mengusahakan tanah mereka, malah membolehkan mereka memohon bantuan yang disediakan kerajaan seperti Skim Rumah Mesra Rakyat.

“Jadi bila dah ada geran tanah, ia satu bantuan kepada golongan berpendapatan rendah yang memiliki tanah tetapi mengalami masalah kewangan bagi mendapatkan pembiayaan dan pinjaman untuk membeli rumah pertama ataupun membina rumah mampu milik sendiri,” katanya.

Seorang penduduk kampung, Chita Tiew, 66, berkata surat hak milik tanah yang diberikan itu membolehkan beliau menarik nafas lega, kerana ia dapat terus diwariskan dan dibangunkan sendiri atau menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Saya memang gembira walaupun ia masih dalam proses… kami penduduk kampung sudah lama bercita-cita mahu dapatkan tanah yang ada geran, sehinggakan saya dan beberapa orang kampung turun ke bandar raya Kuching untuk jumpa dengan Yang Berhormat (wakil rakyat), Jabatan Tanah dan Survei serta Persatuan Nasional Dayak Bidayuh.

Kerjasama mereka sangat memuaskan dalam mempermudahkan proses permohonan,” katanya.

Tidak berhenti setakat mendapatkan geran tanah, Chita dan Micheal, yang merupakan barisan pimpinan kampung itu, turut memikirkan kaedah lain bagi mengoptimumkan pendapatan daripada tanah adat milik penduduk di situ.

Antaranya menjalankan kerjasama dengan syarikat swasta dan agensi kerajan berkaitan untuk meneroka tanah bagi tujuan pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan getah dengan kaedah menyewa tanah milik penduduk.

“Contohnya sekarang ini sudah ada tanam kelapa sawit. Sungguhpun hasil tak lah banyak tapi tiap-tiap tahun kompeni (syarikat) akan bagi bonus… jumlah yang kami dapat ikut berapa banyak (keluasan) tanah dan ini boleh menambah duit belanja rumah kerana hasil ini tiap-tiap tahun meningkat,“ katanya yang turut merancang untuk mempelbagaikan tanaman di tanah beliau sendiri setelah mendapat surat hak milik tanah kelak. 

Kedua-dua penduduk jati Kampung Skio itu berharap penduduk kampung lebih giat mengusahakan tanah mereka sendiri dan tidak menjual tanah berkenaan kerana bukan sahaja perjuangan untuk mendapatkan hak milih tanah memakan masa dan usaha, ia juga adalah peninggalan buat generasi masa hadapan di kampung itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Datuk Abdullah Julaihi berkata setakat ini 1.005 juta hektar atau kira-kira 2.485 juta ekar berjaya diukur berbanding hanya 260,000 hektar pada tahun 1960 hingga 2010.

“Inisiatif baharu pengukuran tanah NCR ini melalui dua peringkat pelaksanaan dengan pemilik-pemilik tanah harus mengenal pasti sempadan tanah masing-masing dalam kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebelum hak milik individu dikeluarkan (di bawah Seksyen 18 Kanun yang sama),” katanya kepada Bernama. 

Menerusi strategi pengukuran baharu yang lebih efisyen dan efektif serta kerjasama daripada pemilik tanah, JTS menyasarkan untuk mengukur 5,000 hektar lot bagi perimeter dan 3,000 hektar untuk lot individu setiap tahun.

Setakat ini di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, seluas 780,203 hektar tanah hak milik komunal diwartakan manakala di peringkat kedua iaitu di bawah Seksyen 18 kanun sama, sebanyak 60,000 hektar tanah  telah diwartakan. 

Abdullah berkata proses pengukuran tanah adat menjadi lebih mudah apabila pihaknya menerapkan dan mengamalkan tiga konsep utama iaitu berkomunikasi dengan penuh hormat, berfakta, serta berintegriti, apabila berdepan dengan pemilik tanah. 

“Kita akan menghantar pegawai-pegawai kita untuk berdialog serta memberi maklumat tentang apa yang perlu mereka lakukan dan apa yang kita lakukan. Inilah yang kita sebut dalam konteks kerjasama di antara kedua-dua pihak,” katanya.

Katanya selain faktor geografi, keadaan cuaca yang tidak menentu juga mempengaruhi masa dan melambatkan proses pengukuran sesuatu kawasan, selain pandemik COVID-19 yang telah melanda sejak tempoh dua tahun lepas.  

“Kita optimis malah berbangga dengan usaha mereka (kakitangan JTS) untuk membantu masyarakat Bumiputera Sarawak memperoleh surat hak milik tanah, sekali gus memberikan peluang kepada mereka (pemilik tanah) mengusahakan tanah berkenaan dan memberikan pulangan ekonomi. 

“Tanah ini juga boleh dibangunkan oleh agensi-agensi kerajaan lain yang membangunkan pertanian, atau secara komersial yang akan memberi pulangan ekonomi kepada pemilik-pemilik tanah,” katanya.