Ingkar PKP Di Labuan, Polis Keluar 68 Kompaun

LABUAN: Polis mengeluarkan kompaun RM1,000 masing-masing kepada 68 individu di sini, kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 13 Jan lepas.

Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata kesemua individu yang dikompaun berusia antara 20 hingga 55 tahun, dengan beberapa daripada mereka ditahan dalam perjalanan dari tanah besar Sabah ke pulau berkenaan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa, termasuk melalui laluan haram.

“Antara kesalahan lain yang dilakukan oleh individu tersebut ialah melepak dan berjoging di pantai, tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

“Mereka sepatutnya tahu bahawa mereka perlu berada di rumah sepanjang tempoh PKP namun mengingkari arahan yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Ibrahim berkata 41 anggota polis dan tentera terlibat dalam dua sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tun Mustapha dan Patau-Patau.

Bagaimanapun, katanya, tiada individu yang ditahan kerana melakukan perjalanan rentas negeri sejak PKP dilaksanakan.