Industri Tuna: Labuan, Sabah Mampu Raih RM700 Juta Setahun

146

LABUAN: Labuan serta Sabah yang dikelilingi keluasan laut dalam dan sebahagiannya menjadi habitat ikan tuna Neritik, mampu meraih hasil pendapatan sehingga RM700 juta setahun daripada industri hidupan marin berkenaan.

ROZMAN ISLI

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata bantuan berterusan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diperlukan bagi memastikan industri perikanan tuna dapat dikembangkan secara optimum, seterusnya membantu ekonomi penduduk setempat.

“Industri hiliran produk berasaskan tuna sedang meningkat di Labuan dan kita memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek untuk memajukan industri perikanan ini bagi membantu menaikkan ekonomi setempat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rozman berkata menurut kementerian berkenaan, potensi tinggi industri perikanan tuna Labuan dengan jumlah pendaratan tuna di Labuan direkodkan sebanyak 1,136.5 metrik tan dengan nilai RM11.82 juta pada tahun lepas (2018) berbanding 16, 000 metrik tan yang sepatutnya (menurut Kajian Taksiran Sumber Perikanan 2013-2016 oleh Jabatan Perikanan Malaysia).

“Berdasarkan hasil kajian itu, masih banyak usaha perlu digandakan bagi memastikan pendaratan dapat dipertingkatkan dan pendapatan dapat dilipatgandakan, namun ia perlu bantuan kementerian dalam perancangan yang lebih berkesan,” katanya.

Rozman berkata kementerian berkenaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2012-2020, bagi meningkatkan pendaratan ikan tuna di Labuan.

Kementerian itu juga, katanya, merancang strategi pelaksanaan dengan membangunkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Sulu dan Sulawesi 2020-2025 bagi menambah bilangan vesel jongkong tuna dan menggalakkan pembinaan vesel pukat jerut tuna di Labuan.

“Kementerian itu menyasarkan sebanyak 35 vesel jongkong tuna dan lima vesel pukat jerut tuna pada tahun 2025 dan sehingga kini, terdapat 15 buah vesel jongkong tuna yang aktif di Labuan,” tambahnya.

Rozman berkata pembangunan fasa dua kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di Kompleks Perikanan Kiamsam, Labuan sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Disember 2020, manakala kerja naik taraf termasuk penambahan jeti dermaga dwifungsi (pendaratan dan tambatan) akan membantu merancakkan aktiviti pendaratan ikan di Labuan.

Katanya lagi kementerian itu juga akan mewujudkan industri pemprosesan tuna di sekitar Kompleks Perikanan Kiamsam bagi menyokong industri hiliran berasaskan tuna dan sehingga kini, terdapat empat pengusaha industri hiliran dalam penghasilan produk berasaskan tuna, seperti sate tuna, burger tuna, tempura tuna dan serunding.

“Saya berharap agar usahawan tempatan mengambil peluang daripada potensi industri perikanan ikan tuna ini melalui kepelbagaian industri hiliran,” katanya.