Industri Pamelo Sabah Akan Terus Dibangunkan – Junz Wong

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TENOM: Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) sedang merangka beberapa program bagi memudahkan penglibatan penduduk Sabah dalam penanaman limau bali (pamelo) yang dilihat mempunyai potensi pasaran yang baik.

Menterinya, Datuk Junz Wong berkata, pelaksanaan program itu akan dilakukan melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) bagi membangunkan industri tanaman pamelo di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021-2030 bagi meningkatkan sumbangan hasil pertanian di negeri ini.

“Saya dimaklumkan tanah seluas satu ekar mampu mengeluarkan limau bali sebanyak lapan tan setahun. Ia lebih kurang RM20,000 setahun. Jika ia ditanam di kawasan seluas lima ekar, hasil diperoleh boleh mencecah RM100,000 setahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, memandangkan sudah terdapat model-model yang sudah terbukti membuah hasil, kerajaan Sabah akan memainkan peranan sebagai fasilitator, di mana entiti-entiti berbeza dihubungkan bersama agar sebuah ekosistem yang mampan dapat diwujudkan.

Antara pihak lain yang turut terlibat adalah STF Agriculture iaitu sebuah syarikat penternakan ayam bersepadu yang turut membekalkan baja, dan juga pengusaha lain atau agensi kerajaan seperti KPD yang menawarkan perkhidmatan sebagai pusat pengumpulan.

“Sebagai contoh, jika petani memerlukan baja dan pengeluar baja memerlukan konsumer maka, jaringan kerjasama antara petani dan pembekal baja akan diwujudkan. Petani dan pengusaha industri hiliran juga boleh dihubungkan bagi proses membekalkan bahan mentah.

“Melalui jaringan kerjasama sebegitu, petani tidak perlu bimbang hasil mereka tidak terjual. Ekosistem yang mampan melalui kerjasama yang wujud itu akan menjamin situasi menag-menang kepada semua pihak terlibat,” ujarnya.

Junz turut melawat Padas Farmstay yang menghasilkan produk hiliran asam boi yang kini mempunyai pasaran yang semakin luas.

Katanya, inisiatif menanam asam boi di kawasan seluas kira-kira lima ekar itu yang dimulakan sejak lebih enam tahun lalu. Kini, produk hiliran asam boi yang dihasilkan termasuk jus, minyak dan enzim.

“Ia telah menjadi sumber pendapatan kepada sebilangan penduduk tempatan serta golongan bersara yang bekerja di situ.

“Biasanya, pengusaha Padas Farmstay yang diterajui pasangan adik-beradik ini mampu memproses sekitar seratus botol produk sehari melalui kaedah-kaedah tradisional. Malah, produk mereka semakin mendapat permintaan di pasaran, bukan hanya pasaran domestik tetapi juga antarabangsa. Mereka juga merancang memperluaskan pengeluaran dan pasaran produk yang dihasilkan,” ujarnya.

Junz berkata, kerajaan Sabah amat menghargai usaha-usaha sebegini yang membawa manfaat kepada penduduk dan ekonomi negeri Sabah.

Tambahnya, beliau akan membantu usahawan tani ini melalui penyediaan geran, pinjaman mikro kredit dan seumpamanya yang ditawarkan Perbadanan Pinjaman Sabah, Bank Pembangunan Sabah mahupun Agro Bank.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Penasihat Pertanian Negara Datuk Yap Yun Fook, Pengurus Besar KPD Jamilah Lee dan beberapa pegawai MAFI.