Individu Berasal Dari Sabah Dibenar Masuk/Keluar Sepanjang PKPB – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju memberi kelonggaran untuk individu berasal dari Sabah bersama pasangan dan tanggungan untuk masuk dan keluar ke/dari Sabah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Turut dibenarkan masuk ke Sabah adalah pemegang Pas-pas Jangka Panjang Imigresen Malaysia (negeri Sabah) yang sah tempoh iaitu bagi warganegara bukan berasal dari Sabah dan bukan warganegara yang menjalankan perkhidmatan perlu (essential services).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, selain daripada kategori yang dinyatakan itu, kemasukan ke Sabah masih belum dibenarkan.

Untuk individu yang dibenarkan masuk dan keluar ke/dari Sabah melalui pintu masuk udara, laut atau darat perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 dalam tempoh sehari hingga tiga hari sebelum perjalanan.

Individu dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan juga perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag Covid- 19 dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dari Sabah (berdasarkan ketetapan oleh KKM).

Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk dan keluar ke/dari Sabah.