Imunisasi Polio, Uda Puji Keberkesanan KIPS

19

PUTATAN: Lebih 5,000 kanak-kanak dari peringkat umur lima tahun ke bawah menerima imunisasi polio di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 18 Petagas dan Putatan , hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai berkata, kempen yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah menyasarkan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Beliau yang turut berkesempatan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi kempen imunisasi di Kampung Ulu, Putatan, pagi tadi berkata, program terbabit sekaligus menunjukkan pihak kerajaan komited bagi menangani penularan wabak polio di negeri ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang terlibat kempen ini di mana mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 8,700 kanak-kanak di sekitar DUN Petagas dan daerah Putatan untuk menerima imunisasi polio.

“Pihak kita amat berterima kasih terhadap pelaksanaan program ini dan mereka turut melaksanakan kempen imunisasi polio dari rumah ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika meninjau pelaksanaan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) di Kampung Ulu, Putatan, pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, pihaknya mengajak supaya masyarakat di Putatan mengamalkan kebersihan di rumah bagi mengelak penularan wabak-wabak penyakit.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan di antara masyarakat setempat dan kerajaan dengan menyokong setiap program komuniti seperti kempen KIPS yang dijalankan.