IMM13: Shafie Kata Jangan, KDN Pula Mahu Semua Dapat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan di Dewan Rakyat bahawa dokumen IMM13 tidak sepatutnya diberikan kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci kerana pemegang kedua-dua dokumen tersebut adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Menteri berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu warga asing di Sabah, namun langkah yang diambil perlulah memastikan masalah itu berakhir bukannya cuba menghalalkan sesuatu yang tidak halal.

Jelas beliau, ini kerana pemegang IMM13 mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pelarian perang berbanding Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh PATI dan jumlahnya mencecah ratusan ribu di Sabah.

“Yang kedua yang dibangkitkan tadi oleh berhormat Menteri Dalam Negeri tentang  IMM13, tentang Burung-Burung, saya ingin jelaskan IMM13  adalah dokumen yang diiktiraf PBB, Burung-Burung kertas sahaja, bancian kertas sahaja, ini tidak diiktiraf.

“Dah dimasukkan dua Burung-Burung dan bancian ini kepada pengiktirafan antarabangsa, ini suaka politik, bagaimana kerajaan boleh mengambilnya sebagai penyelesaian kerana yang IMM13 ini hanya mungkin dalam 40,000- 30,000, yang bancian dengan Burung-Burung ini mungkin beratus ribu, PTI.

“Takkan kita nak halalkan sesuatu perkara yang tidak halal, jadi saya ingat ini perlu ada penjelasannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam soal tambahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Hamzah dalam jawapannya berkata, kerajaan tidak sepatutnya pilih kasih kerana semua warga asing itu juga manusia yang perlu mempunyai identiti untuk tinggal di negara ini.

“Kita hidup ini jangan double standard (pilih kasih) kalau  kita nak luluskan atas faktor kemanusiaan, sebab saya nak lihat juga segala dokumen mereka yang dilahirkan sama ada mereka dilahirkan di Sabah atau di mana sekalipun.

“Masalahnya tadi yang berhormat kata, kita cuma iktiraf IMM13, betullah kita mahu iktiraf yang satu, yang anak 19 tahun yang pakai Burung-Burung mcm mana, yang pakai Sijil Banci macam mana, janganlah double standard.

“Jika lihat faktor kemanusiaan, biar saya uruskan supaya kita nak selaraskan semuanya akhirnya kita tahu mereka dilahirkan atas sifat ibu bapa yang memegang dokumen mana, itu yang kita nak selaraskan bukan saya nak berikan orang semata-mata,” katanya.

Dalam jawapannya, Hamzah berkata, tidak semestinya setiap warga asing itu diberikan taraf kewarganegaraan kerana Malaysia adalah negara yang berdaulat.

Bagaimanapun, beliau menganggap semua warga asing itu sebagai rakyat di dunia ini, justeru mereka juga manusia walau di mana pun berada dan perlu mempunyai identiti.

“Yang penting kepada kita untuk menentukan supaya anak-anak yang stateless ini kita tengok, kalau kita tidak boleh beri apa sekalipun kelayakannya kita akan pastikan mereka sekurang-kurangnya ada identity untuk mereka hidup di dalam negara ini.

“Bagi saya rakyat dunia, sama ada mereka di Sabah atau di mana pun mereka masih lagi manusia, sebab itu saya nak pastikan segala apa yang dilakukan ini supaya setiap mereka yang ada di dalam negara kita ini mempunyai identitinya,” katanya.