IMM13: Jeffrey Akhirnya Tunjuk Wajah Sebenar Isu PATI

ISMAIL

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan kini menunjukkan wajah sebenar beliau yang tiada pendirian serius dalam perjuangan menghantar pulang warga asing dari Sabah.

Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd. Ismail Ayub berkata, tidak hairanlah apabila Ahli Parlimen Keningau itu tiba-tiba sahaja menyokong agar IMM13 diberikan kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

“Dulu Jeffrey begitu lantang membawa isu pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi hari ini beliau gembira serta berterima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menampakkan dirinya yang sebenar tidak mempunyai pendirian serius dalam menangani PATI.

“Saya tidak hairan kerana Jeffrey sudah termakan budi hasil daripada lompatan yang mencipta rekod dalam sehari dan menjadi timbalan menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam sidang akhbarnya berkata, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci akan dimansuhkan dan semua pemegangnya diberikan IMM13 sahaja.

Jeffrey yang sebelum ini tegas mahu golongan warga asing itu dihantar balik bagaimanapun bersetuju dengan langkah diambil.

Sementara itu, Mohd. Ismail berkata, IMM13 sebenarnya telah membawa masalah selama ini kerana terlalu banyak pemalsuan dokumen itu yang hanya merupakan sekeping kertas.

Katanya, berbanding IMM13, Pas Sementara Sabah (PSS) yang tidak jadi dilaksanakan lebih baik kerana mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk maklumat biometrik pemegangnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jika pemberian IMM13 itu merupakan hadiah PN kepada rakyat Sabah, jika sebelum ini mereka menuduh Warisan mesra PATI tetapi kali ini PN pula yang seolah-olah memberikan kasih sayang kepada golongan itu.

“Keputusan PN memberikan IMM13 kepada golongan itu boleh dicurigai kerana dengan keputusan itu maknanya Kerajaan Persekutuan boleh sesuka hati memberikan IMM13 kepada sesiapa sahaja.

“Apa pula jaminan pemegang IMM13 ini tidak bertambah dan bebas daripada aktiviti jenayah serta dadah, bayangkan generasi IMM13 yang ada di Sabah ini sudah begitu lama berada di sini,” tegasnya.