Iktiraf Tapak Geopark Di Sabah, Usaha Sokong Pemuliharaan Alam

720

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengisytiharkan beberapa daerah di negeri ini sebagai tapak Geopark Kebangsaan sebagai komitmen penglibatan kerajaan dalam pemuliharaan alam semulajadi dan eko-pelancongan di peringkat antarabangsa.

Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, kerajaan sedang giat berusaha untuk mengisytiharkan kawasan sekitar Gunung Kinabalu seperti daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu sebagai tapak Geopark Kebangsaan pada tahun ini dan dimasyhurkan sebagai tapak warisan UNECO Global Geopark menjelang 2020.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang dalam proses mewartakan kawasan Teluk Darvel, Lahad Datu dan Pulau Mantanani, Kota Belud sebagai kawasan permuliharaan marin.

Dalam usaha pemeliharaan hutan pula, kerajaan akan meneruskan polisi agar hutan yang diwartakan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di Sabah tidak kurang 30 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri ini menjelang 2025.

Maka, pada tahun ini, kerajaan menetapkan sasaran untuk mewartakan seluas 43,000 hektar kawasan hutan sebagai kawasan TPA.

Seiring dengan itu, kerajaan akan membangunkan Pelan Pengurusan Hutan Menyeluruh bagi Negeri Sabah dalam masa terdekat ini bagi menggariskan perancangan pengurusan hutan bagi tempoh 25 tahun.

Disamping itu, kerajaan juga beriltizam untuk memastikan sektor pelancongan kekal rancak dan berdaya saing dengan memfokuskan keindahan alam semulajadi dan warisan budaya sebagai aset utama pelancongan di Sabah.

“Pada tahun ini, Kerajaan Sabah menyasarkan 4juta orang ketibaan pelancong berbanding 3.8juta pada tahun lepas. Daripada jumlah itu, ketibaan pelancong antarabangsa akan diseimbangkan antara China dan negara-negara Eropah, Amerika Syarikat serta Oceania.
“Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan aksesibiliti udara ke Sabah dan mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan khususnya di kawasan luar bandar dan Pantai Timur Sabah,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15, di sini pada Khamis.

Disamping itu, kerajaan juga akan membangunkan pelancongan berasaskan komuniti di beberapa kampung terpilih melalui Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ).

Untuk program ini seramai 2,500 ketua isi rumah disasarkan untuk menyertai aktiviti pelancongan luar bandar berkenaan.

Mengenai langkah memansuhkan geran komunal, kerajaan kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengukuran lot tanah untuk pengeluaran geran individu kepada benifisiari.

“Kerajaan akan memansuhkan geran komunal secara berperingkat dalam tempoh dua tahun ini (2019-2020).

“Di samping itu, bagi menjamin hak pemilikan Tanah Anak Negeri, kerajaan telah menetapkan 120 kuota kelulusan setiap tahun dan secara keseluruhannya 600 kelulusan akan diberi sepanjang tempoh 2019-2023,” ujarnya.

Juhar berkata, bagi memantapkan Institusi Mahkamah Anak Negeri, kerajaan sedang merangka penaiktarafan Mahkamah Anak Negeri (MAN) bagi menjadikan institusi itu lebih profesional dan efisien setanding dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Manakala, untuk memajukan ekonomi dan sosial umat Islam di Sabah, beberapa cadangan penubuhan lembaga pengurusan akan diwujudkan.

“Antara yang dicadangkan adalah Perintah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Perintah Lembaga Pengurusan Kutipan dan Agihan Zakat Negeri Sabah, Perintah Lembaga Pengurusan Haji dan Umrah Negeri Sabah dan Perintah Lembaga Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Sabah,” jelasnya.