IKEA Sweden Mau Buka Kilang Perabot Guna Akasia Di Sabah

3945
Shafie Apdal bersama Ulf Johansson di pejabat Ketua Menteri pada Selasa.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: IKEA Sweden melihat kemungkinan untuk memperluaskan kilang pembuatan perabot di Sabah dengan memfokuskan kepada penggunaan kayu Akasia.

Pengurus Perhutanan dan Bekalan Kayu Global IKEA Sweden Ulf Johansson berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Sabah perlu memperluaskan lagi tanaman pokok Akasia.

Ini bagi membekalkan lebih banyak kayu Akasia yang boleh dimanfaatkan dalam industri pembuatan perabot. Ia kerana mereka masih berdepan dengan kekurangan bekalan kayu Akasia.

Katanya, tanaman pokok Akasia mempunyai potensi yang besar di Sabah. Malah, IKEA sudah pun menggunakan kayu Akasia yang diperoleh dari Sabah.

“Kami sedang melihat kepada usaha membangunkan lebih banyak pembuatan (perabot) berasaskan kayu Akasia dan kami berbesar hati untuk membangunkannya di Sabah.

“IKEA bukan hanya melihat kepada pembangunan pokok Akasia sahaja, kami juga melihat potensi untuk membangunkan kilang perabot di Sabah,” katanya kepada media selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Sabah (PPNS), di sini pada Selasa.

Namun, untuk menjayakan hasrat itu, IKEA akan mengenalpasti rakan kongsi perniagaan yang ada di Sabah untuk membangunkan kilang perabot berkenaan.

“Biasanya IKEA tidak mengusahakan kilang sendiri. Kami sentiasa mencari rakan kongsi perniagaan yang berpotensi dimana-mana negara kami beroperasi. Ini strategi kami bagi mewujudkan hubungan kerjasama jangka panjang,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan IKEA menghantar perabot di seluruh dunia maka, bekalan kayu yang ada perlulah yang terbaik.

Ulf berkata, persijilan dan pembangunan mampan Akasia di Sabah masih belum mencukupi. Atas sebab itu, Sabah perlu membangunkan tanaman pokok Akasia di kawasan tanah yang degradasi (tanah yang rosak).

Menurutnya, jika tanaman pokok Akasia ditanam di tanah degradasi, lebih banyak peluang pekerjaan dan hasil cukai dapat diperoleh.

Dalam masa yang sama, langkah itu juga tidak memberi tekanan kepada tanah asli yang seharusnya dikekalkan untuk konservasi hutan.

Sementara itu, Ketua Kelestarian Kumpulan IKEA Antarabangsa Lena Pripp Kovac berkata, usaha konservasi dan bekalan kayu kayan perlu seiring.

Usaha menggunakan tanah degradasi ini antara langkah konservasi yang boleh diamalkan tanpa mengganggu tanah hutan asli.

Katanya, selain terlibat dalam pembuatan perabot, mereka juga mengeluarkan bahan berasaskan bio seperti bahan hiasan rumah.