Ikan Gergasi Tarik Perhatian Orang Ramai di Taman Tun Fuad

KOTA KINABALU: Orang ramai yang melakukan aktiviti riadah di Taman Tun Fuad Stephens, Bukit Padang dikejutkan dengan penemuan ikan gergasi berukuran 2 meter panjang dengan berat mencecah 108kg, di sini pada pagi Isnin.

Rata-rata joggers yang melihat saiz ikan gergasi yang berada di tepi tasik taman itu terkejut dan teruja melihat ikan sebesar itu.

Mayor Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman dalam satu kenyataan berkata, ikan gergasi yang dikenali dengan nama saintifik Arapaima Gigas itu adalah spesis ikan air tawar terbesar di dunia yang bakanya berasal dari Sungai Amazon, Amerika Syarikat.

Katanya, ikan itu ditemui mati oleh anggota Taman Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 8 pagi ketika mereka sedang membuat kerja-kerja pembersihan di tepi tasik berkenaan.

“Anggota taman dikenali sebagai Cyrill,26, yang menjalankan kerja-kerja pembersihan ternampak satu benda terapung di tasik. Pada mulanya disangka sampah.

“Bagaimanapun, ketika dihampiri, baru dia sedari apa yang diingatnya sampah itu adalah seekor ikan besar.

“Dengan bantuan beberapa orang anggota taman menaiki bot, ikan itu berjaya dibawa ke daratan, sekaligus menarik perhatian joggers yang terkejut melihat ikan bersaiz gergasi berkenaan,” ujarnya.

Satu rakaman video tular dalam laman media sosial yang memperlihatkan ikan gergasi yang berada di tepi Tasik Taman Tun Fuad Stephens pada pagi Isnin.