ICSC Dilancar, Kerjasama Dalam Penyelidikan Dilanjutkan

530
Ahmad Nizam (kiri) mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal melawat Makmal Penyelidikan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TONGOD: Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Yayasan Petronas melanjutkan kerjasama dalam usaha konservasi dengan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan, di sini pada Selasa.

MoU bagi tempoh lima tahun itu akan merangkumi kajian mengenai sinki karbon, biodiversiti serta tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, dengan siapnya Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) ini, ia akan membantu memacu aktiviti penyelidikan di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang berkeluasan 27,599 hektar.

Dengan termeterainya MoU itu, Yayasan Petronas akan memperkenalkan sebuah geran penyelidikan alam semula jadi bagi mendorong kajian dalam ketiga-tiga bidang iaitu sinki karbon, biodiversiti dan tenaga boleh diperbaharui.

Mohd Shafie bermesra dengan pelajar sekolah yang turut menyertai lawatan ke Air Terjun Imbak, turut kelihatan Ahmad Nizam (lima kiri) dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini (kiri)

”Kami yakin kerjasama dengan Kumpulan YS ini mampu membantu kami melindungi hak cipta intelektual dan paten komersial yang mungkin terhasil daripada penyelidikan yang dijalankan di Kanyon Imbak ini, ” katanya ketika Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) yang dibina di kawasan seluas 27 hektar.

Ahmad Nizam berkata, pusat ini juga akan menjadi nadi usaha konservasi di Kanyon Imbak kerana kerja-kerja asas pembangunan bank gen dan benih serta sistem pengurusan kalatog akan ditempatkan di sini.

Di samping itu, Petronas berharap ubat-ubatan, unsur bio-kimia atau gentian pakaian baharu dapat dihasilkan melalui penyelidikan yang dilaksanakan di pusat ini pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan YS Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata, ICSC ditubuhkan untuk dijadikan hab penyelidikan alam mengenai biodiversiti.

Katanya, ICSC akan memperkukuhkan posisi ICCA sebagai pusat pembelajaran komuniti tempatan dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber alam yang mapan.

Di samping itu, penubuhan pusat ini juga sebagai langkah memelihara bank gen dan meneroka potensi bidang farmaseutikal dan bioteknologi.

”Kumpulan Yayasan Sabah juga komited dalam memperkasa komuniti tempatan ke arah taraf kehidupan yang lebih baik serta masa depan yang mapan.

“Seiring dengan itu, pembinaan ICSC akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam aktiviti berkaitan hospitaliti dan pelancongan kepada komuniti di sekitar kawasan Imbak agar dapat mempertingkatkan taraf kehidupan dalam kaedah lestari,” jelasnya.

Jamalul berkata, pembinaan ICSC membuktikan kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas ke arah usaha konservasi dan pembangunan di Sabah, khususnya kepada penduduk di kawasan Tongod.

Sejak 2010, Petronas telah menyumbang sejumlah RM83 juta bagi melaksana usaha konservasi Kanyon Imbak bagi menjadikannya usaha tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah bagi tujuan memelihara kawasan perlindungan hutan yang telah diwartakan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, Petronas memperuntukkan RM6 juta pada fasa pertama (2010) yang merangkumi lapan teras dan kemudian memberikan dana berjumlah RM77juta untuk fasa kedua pada 2014 bagi pembinaan ICSC ini.

Penubuhan ICSC ini adalah langkah penting yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Sabah untuk melindungi warisan alam semula jadi dan persekitaran hutan hujan Sabah.

ICCA merupakan salah satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah selain Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.