ICSC Berpotensi Jadi Hab Penyelidikan Biodiversiti

378
Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak yang berkeluasan 27 hektar

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TONGOD: Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) bukan hanya akan meletakkan Kanyon Imbak sebagai pusat perkumpulan penyelidik dari dalam dan luar negara, pusat ini juga dijangka mampu menjadikan Sabah sebagai hab-penyelidikan alam semula jadi bagi pemuliharaan biodiversiti.

ICSC yang berada dalam Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang berkeluasan 27,599 hektar ini mula dibina pada 2014 dan siap sepenuhnya pada November 2016.

Pusat pembelajaran seluas 27 hektar ini dilancarkan secara rasmi pada 26 Mac oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie merupakan satu-satunya Ketua Menteri yang pernah menjejakkan kaki ke ICCA sejak pusat pembelajaran itu siap dibina dengan hasil usahasama antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas.

Pembangunan ICCA termasuk ICSC ini melibatkan kos bernilai RM83 juta yang berada dalam Hutan Kelas Satu (hutan dilindungi sepenuhnya-TPA).

Dr Yap memberi penerangan kepada pengamal media yang berkunjung ke ICSC

ICCA adalah salah satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah selain Lembah Danum, Lembangan Maliau, Sungai Taliwas dan Pesisiran Pantai Silam yang kesemuanya berkeluasan 176,000 hektar, iaitu dua kali lebih besar daripada negara Singapura.

Mohd Shafie ketika pelancaran pusat itu berkata, beliau melihat penubuhan ICSC sebagai langkah meningkatkan kapasiti bidang kajian dan penyelidikan di Sabah yang mampu menarik masyarakat dunia.

Menurutnya, pusat pembelajaran ini bukan hanya boleh dilawati pelancong tetapi juga ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara.

Manakala, Pengerusi Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria pula harapan untuk melihat ICCA menjadi hab penyelidikan bagi biodiversiti yang akan menempatkan bank gen dan meneroka potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

Melalui usahasama yang dimeterai antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas pada 2010 dalam usaha konservasi di ICCA, penubuhan Persatuan Porter dan Malim Gunung Kanyon Imbak berjaya dilakukan bagi menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada golongan belia di Kampung Imbak dan daerah Tongod.

Makmal Saintifik ICSC

Persatuan itu ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan golongan belia di sekitar ICCA dalam memberi perkhidmatan porter dan malim gunung kepada pengunjung di Kanyon Imbak.

Seiring dengan usaha konservasi itu, Pelan Pengurusan Strategik Kanyon Imbak 2014-2023 telah diwujudkan sebagai panduan pelaksanaan aktiviti konservasi di Kanyon Imbak bagi tempoh 10 tahun.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Alam Sekitar & Konservasi, Yayasan Sabah Dr Hamzah Tangki berkata, sejak ICSC beroperasi sebanyak 55 penyelidikan telah dilaksanakan di ICCA yang mempunyai 600 spesis tumbuhan, 82 spesis mamalia, 26 spesis terancam dan 242 spesis burung.

ICCA yang merupakan hutan dara Sabah yang terakhir diwartakan sebagai TPA ini sememangnya kaya dengan flora dan fauna termasuk tumbuhan herba yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Katanya, memandangkan ICCA berada hampir dengan kawasan Kampung Imbak, iaitu pada jarak 30km, Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas membangunkan kawasan ini bermula 2010 dengan tujuan menjadikannya pusat pembelajaran asas masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti, bank gen, farmaseutikal dan bioteknologi.

Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berada dalam kawasan Hutan Kelas Satu

Kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas ini bertujuan menjadikan ICCA sebagai kawasan dilindungi disamping menggalakkan kelestaran sumber asli; memberi latihan kepada masyarakat setempat tentang pemuliharaan biodiversiti, menyediakan Pelan Pengurusan Strategik ICCA dan menyediakan fasiliti pendidikan dan penyelidikan.

KEMUDAHAN ICSC

Pengurus Bahagian Pengurusan Alam Sekitar & Konservasi, Yayasan Sabah Dr Yap Sau Wai berkata sebagai pintu masuk ke Kanyon Imbak, ICSC menempatkan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung dan penyelidik yang datang untuk menjalankan penyelidikan sekitar ICCA.

Katanya, zon utama ICSC menempatkan rumah rehat, lodge, dewan persidangan, dewan makan, asrama, makmal saintifik dan kompleks pendidikan alam sekitar.

Selain itu, terdapat juga pejabat pentadbiran, perpustakaan, teater, galeri dan kafe yang berada di zon pengunjung harian.

Kemudahan lain yang terdapat di ICSC termasuk chalet untuk pelancong, astaka, padang bola sepak, dewan serbaguna, surau, kuaters staf dan penginapan penyelidik.

Gajah Pygmy Borneo yang boleh ditemui di ICCA

Penginapan di ICSC boleh menempatkan sehingga 200 orang pengunjung dalam satu-satu masa.

Dr Yap berkata, selain kemudahan di ICSC, ICCA turut menempatkan enam stesyen penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh penyelidik yang menjalankan kajian dan penyelidikan sekitar kawasan hutan di ICCA.

Namun buat masa ini, hanya dua stesyen penyelidikan sahaja yang lengkap dengan penginapan iaitu Stesyen Penyelidikan Gunung Kuli dan Tampoi. Kemudahan penginapan di empat stesyen penyelidikan lain termasuklah Batu Timbang,Kapur, Pinang-Pinang dan Kangkawat akan dibangunkan secara berperingkat.

Stesyen Penyelidikan Gunung Kuli mampu memuatkan 20 penyelidik dalam satu-satu masa dan ia dilengkapi dengan kemudahan penginapan, dewan makan, tandas dan surau.

ICCA KAYA DENGAN FLORA & FAUNA

Menurutnya, hanya 15 peratus daripada 27, 599 hektar ICCA yang sudah diterokai dan selebihnya masih belum dijejaki kerana Kanyon Imbak berada di berbukit-bukau dengan lembah sepanjang 25km.

Red bearded bee eater antara spesis burung yang ditemui

Kawasan hutan simpan yang menempatkan ketiga-tiga kawasan konservasi Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak ini ini baru 40 peratus diterokai, selebihnya 60 peratus lagi belum diterokai.

Dr Yap berkata, susulan ekspedisi saintifik pada 2004 mendapati terdapat 317 spesis tumbuhan mewakili 84 keluarga dan 185 genera dikenalpasti sekitar ICCA.

Daripada 317 spesis tumbuhan yang dikenalpasti di bahagian tengah Kanyon Imbak, 32 adalah spesis endemik kepada Borneo termasuk enam kepada Sabah.

Di sini juga ditemui Rafflesia terkecil yang dinamakan sebagai Rafflesia Tengku Adlini yang ditemui semasa ekspedisi pada Ogos 2017 di kawasan Stesyen Penyelidikan Batu Timbang.

Kanyon Imbak juga mempunyai 53 genera dan 196 spesis orkid yang mana, 20 daripada orkid itu adalah spesis baharu dan 28 daripadanya pula adalah spesis endemic kepada Borneo termasuklah spesis baru Dendrobium Jamirusii.

Air Terjun Kuli

Disebabkan banyak spesis yang perlu dipelihara dan dikekalkan daripada pupus, ICCA juga bertindak sebagai ban gen untuk tumbuhan yang ada disekitarnya.

Untuk hidupan yang terdapat di ICCA pula, kawasan ini mempunyai 82 spesis mamalia seperti Orang utan, monyet belanda, tembadau dan gajah pygmy borneo.

Kawasan ini juga merekodkan 242 spesis burung yang terdiri daripada burung tanah pamah dan gunung. Berdasarkan rekod, terdapat enam spesis pitta, lapan spesis burung enggang Borneo dan 20 spesis burung sambar di sekitar ICCA.

Selain itu, terdapat 22 spesis ikan air tawar yang direkodkan di ICCA.

Disamping itu, ICCA juga merupakan kawasan yang dikelilingi beberapa air terjun yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan seperti Air Terjun Imbak, Air Terjun Maya dan Air Terjun Kuli.

Dr Yap yang mula bekerja dengan Yayasan Sabah sejak 1993 di Lembah Danum ini mahu menggalakkan lebih ramai saintis tempatan menjalankan penyelidikan di ICCA bagi membolehkan Sabah melahirkan duta saintis yang boleh mempromosikan Kanyon Imbak kepada penduduk setempat dan masyarakat dunia.