ICSC Bantu Tingkat Kapasiti Penyelidikan Di Sabah, Mohd Shafie

709

Oleh SURAIDAH ROSLAN

Pengerusi Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria (tiga kiri) memberi taklimat kepada Mohd Shafie (lima kiri) dan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh (empat kiri) mengenai ICCA

TONGOD: Penubuhan satu lagi pusat penyelidikan di Sabah dilihat akan membantu meningkatkan kapasiti bidang kajian dan penyelidikan di negeri ini yang pastinya mampu memanfaatkan masyarakat dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) yang baru dilancarkan ini akan meletakkan Sabah sebagai pusat yang boleh dilawati pelancong terutama ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara.

“Terdapat banyak tumbuhan dan hidupan yang ada di kawasan ini tidak boleh ditemui di tempat lain di dunia dan itu yang perlu dikaji. Ada juga penemuan tumbuhan baharu yang didapati mengandungi khasiat perubatan.

“Maka, penubuhan pusat sebegini penting kepada kita untuk menjalankan kajian secara mendalam kerana ia mampu digunakan oleh masyarakat dunia,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC), di sini pada Selasa.

Mohd Shafie menandatangani plak perasmian ICSC, turut kelihatan kelihatan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh (dua kanan)

Menurutnya, kerjasama antara Yayasan Sabah dan Petronas akan membolehkan khazanah alam semula jadi di negeri ini dipelihara dengan sebaiknya.

Mohd Shafie, usaha sebegitu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang menekankan tentang konservasi dan pemeliharaan warisan hutan.

“Adalah menjadi harapan kita menjelang 2025, sebanyak 30 peratus hutan di Sabah akan dijadikan kawasan terlindung sepenuhnya (TPA).

“Tetapi saya yakin ia dapat dicapai lebih awal berikutan langkah kerajaan dalam menjaga beberapa kawasan dengan baik termasuk usaha mewartakan hutan sebagai hutan simpan kelas satu untuk warisan generasi akan datang, ” ujarnya.

Disamping itu, beliau juga mahu kesedaran mengenai konservasi hutan disampaikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi demi kesinambungan kesedaran dan langkah memelihara hutan untuk manfaat generasi akan datang.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai pemeliharaan hutan amat penting kerana merema yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Dengan adanya kesedaran dan ilmu pengetahuan barulah usaha konservasi hutan dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang

Mohd Shafie juga mahu usaha penguatkuasaan pembalakan haram dipertingkatkan selaras dengan langkah kerajaan mengharamkan eksport balak ke luar negara.

Katanya, beliau masih melihat pembalakan dilakukan di kawasan bukit dan beliau mahu Jabatan Perhutanan Sabah supaya memantau keadaan itu.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara Yayasan Petronas dan Yayasan Sabah dapat diteruskan bagi memastikan kerjasama yang ada bukan hanya dapat menarik pelancong tetapi juga menarik penyelidik dari seluruh dunia untuk datang ke ICSC.

Beliau berkata, bantuan daripada agensi seperti Petronas ini amat diperlukan bagi membangunkan kampung di sekitar Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang masih belum mempunyai akses jalan raya yang baik serta sekolah yang masih menggunakan papan.