Ibu Bersama Empat Anak Rentung Di Pagi Syawal

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
MEMBAKUT: Kegembiraan menyambut Syawal bertukar menjadi tragedi hitam bagi sebuah keluarga selepas seorang wanita rentung bersama empat anaknya dalam kebakaran rumah pada pukul 2.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa rentung ialah Aishah Jumat, 58, bersama anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Suami mangsa, Othman Ali, 64, bagaimanapun terselamat manakala dua lagi anaknya iaitu Dzulaika, 25, dan Zulkifli, 29, melecur serta sedang menerima rawatan di Hospital Beaufort.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira pukul 2.54 pagi tadi.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu kemudiannya dikejarkan ke lokasi bagi operasi memadam.

“Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah seratus peratus.

“Kita berjaya mengawal api kebakaran sekitar pukil 5 pagi tadi,” katanya.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi, bomba berjaya menemukan lima mangsa yang rentung dan telah menyerahkannya kepada pihak polis.

“Terdapat dua mangsa yang tercedera dalam kejadian ini dan kini telah ditempatkan di hospital bagi rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.