Ibu Bayi 3 Bulan Antara 23 Individu Ditahan Sertai Parti Liar, Ingkar Penjarakan Sosial

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Ibu kepada bayi berusia 3 bulan antara 23 individu yang ditahan selepas didakwa terbabit dalam satu parti liar dan penagihan dadah di sebuah rumah mewah di Taman Nordin, di sini, kelmarin.

Difahamkan kejadian jam 8.30 pagi itu, semua individu tersebut terdiri daripada 15 lelaki dan lapan wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun itu sanggup menyewa rumah mewah di situ dengan harga lebih RM1,200 semalam bagi membolehkan mereka berkumpul dan melakukan aktiviti penagihan dadah.

Menurut sumber ada sebahagian suspek yang ditahan adalah pasangan suami isteri dan juga adik beradik termasuk seorang yang bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan swasta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, semua suspek berjaya ditahan termasuk tiga warga Indonesia.

“Ketika serbuan dibuat, kumpulan itu didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan tiada penjarakan sosial di rumah terbabit.

“Polis tidak menemui sebarang dadah di lokasi kejadian, namun, ujian saringan air kencing mendapati 19 daripada mereka positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambahnya, 19 suspek terdiri daripasa 11 lelaki dan lapan wanita disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang di bawah Peraturan 3 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1998,” katanya.