Ibu Baru Bersalin Berpantang di Pusat Pemindahan Banjir

Judy dibawa ke PPS dengan bantuan pasukan keselamatan.

PENAMPANG: Belum pun habis tempoh berpantang, seorang mangsa banjir yang baru melahirkan anak tiga minggu lalu terpaksa berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Judy Shadee yang merupakan ibu kepada tujuh anak ini berkata, ini adalah kali pertama mereka sekeluarga berpindah ke PPS.

Katanya, sebelum ini jika banjir mereka sekeluarga hanya menumpang di rumah keluarga terdekat.

Namun, kali ini disebabkan pandemik Covid-19, mereka tidak mahu menyusahkan keluarga lain dan memutuskan untuk berpindah ke PPS.

Judy yang tinggal di Kampung Penampang Proper ini berkata, bukan bermakna berada di PPS beliau tidak risau akan risiko jangkitan Covid-19 tetapi, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di pusat pemindahan, mereka tetap merasa selamat.

Keadaan banjir di rumah Vicky.

Katanya, setiap kali banjir berlaku biasanya ia akan mengambil masa empat atau lima hari untuk surut apatah lagi apabila rumah mereka berhampiran dengan Sungai Moyog.

Bagi Vicky Matanjang dari Kampung Hungab, mereka sekeluarga tidak menyedari paras air semakin naik jika tidak dikejutkan oleh jiran mereka.

Katanya, disebabkan mereka sekeluarga tertidur selepas 12 tengah malam, mereka tidak menyedari banjir berlaku.

Apabila jiran mengetuk pintu rumah kira-kira 3 pagi barulah mereka tersedar dan ketika itu paras air sudah naik. Sejam selepas itu, paras air dalam rumah sudah naik sehingga ke paras lutut.

“Nasib baiklah semua barangan penting kami simpan di tingkat atas. Hanya stor sahaja di tingkat bawah jadi, tidak banyak barangan yang perlu kami pindahkan,” katanya.