Ibu Bapa Main Peranan Penting Pelihara Bahasa KDMR – Ongkili

MAXIMUS ONGKILI

KOTA MARUDU: Ibu bapa, khususnya di Sabah, boleh memainkan peranan mereka dalam memelihara bahasa Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dengan berkomunikasi menggunakan bahasa itu lebih kerap di rumah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata penguasaan bahasa KDMR dilihat semakin lemah, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Justeru, adalah penting buat ibu bapa mula menggunakan bahasa itu di rumah… Mainkan peranan anda dan ajar anak-anak anda, bercakap dengan mereka menggunakan bahasa ibunda kita. Jika tidak, bahasa KDMR ini akan pupus,” katanya ketika merasmikan Galeri Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Tandek di sini hari ini.

Selain itu, Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata KDCA Kota Marudu mengambil inisiatif menawarkan kelas KDMR di bangunan mereka di daerah ini tidak lama lagi.

“Tujuannya ialah untuk mengajar anak-anak kita meneroka dan menguasai bahasa KDMR menerusi pendidikan formal. Modul kami akan dimulakan dengan Dusun Liwan-Tangara, diikuti bahasa Dusun lain seperti Tobilung, Kimaragang dan Rungus,” kata Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Sementara itu, Ongkili berkata Galeri KDCA Tandek turut menawarkan peluang perniagaan kepada ahlinya di sini.

“Lot kedai enam pintu itu bukan hanya memaparkan aspek tradisional dan kebudayaan KDMR tetapi menawarkan ahlinya peluang untuk berniaga,” katanya dan menambah pemilihan penyewa akan dibuat berdasarkan undian lot.