Ibu Bapa di Sabah Pastikan Anak Divaksin Sebelum ke Sekolah

KOTA KINABALU: Ibu bapa di Sabah komited memastikan anak-anak mereka menerima vaksin COVID-19 sebagai langkah keselamatan dan perlindungan diri bagi menghadapi sesi persekolahan yang dibuka semula hari ini.

Walaupun hanya kira-kira tiga peratus atau hampir 17,000 pelajar mula bersekolah di Sabah hari ini, kebanyakan ibu bapa telah membuat persediaan awal itu bagi mengelakkan penularan wabak tersebut di sekolah.

Mariam Ag Damit, 48, dari Kota Kinabalu berkata dia menggalakkan empat anaknya divaksinasi memandangkan seorang daripada mereka memulakan sesi pembelajaran bersemuka manakala seorang lagi akan melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mariam yang bertugas sebagai guru berkata anaknya yang berumur 19 dan 20 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala dua lagi berumur 17 dan 15 tahun menerima suntikan dos pertama mereka pada 16 Sept lepas.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu fikir masa depan anak-anak yang sudah hampir dua tahun duduk di rumah mengikuti PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) serta anak-anak yang ingin merasai pengalaman menjalani suasana pembelajaran dan kehidupan universiti.

“Justeru, ibu bapa perlu menerapkan tanggungjawab kepada anak-anak untuk bersama-sama memerangi COVID-19 dengan mengambil vaksin, dan dalam masa sama memberi kerjasama kepada kerajaan yang memberi vaksinasi percuma.

“Kita anggap (vaksinasi) sebagai ikhtiar dan kemudian kita tawakal,” katanya yang telah menerima vaksin bersama suaminya, kepada Bernama.

Seorang ibu kepada empat anak, Shofiza Md Iyen, 48, dari Kota Kinabalu pula berpendapat dia menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan anak-anaknya kerana ia sangat penting untuk perlindungan kesihatan dan keselamatan mereka daripada risiko jangkitan.

“Ibu bapa sentiasa keluar bekerja dan berkemungkinan ada risiko jangkitan wabak dibawa pulang ke rumah,” katanya sambil menambah mereka sekeluarga pernah dijangkiti COVID-19 dan enggan pisang berbuah dua kali.

Md Burhan Shakil, 52, berkata ibu bapa tidak sepatutnya berasa takut untuk memberikan vaksin kepada anak mereka kerana ia disahkan selamat dan dua anaknya sendiri yang berusia 16 dan 13 tahun telah menerima dos pertama pada 24 Sept lepas.

“Saya kesal ada pihak tidak bertanggungjawab sebar berita palsu mengenai vaksinasi untuk anak-anak, kerajaan telah sekian lama beri pelbagai jenis vaksin kepada kita dan anak-anak semuanya selamat, yang tidak selamat ialah anak ke sekolah tanpa vaksin,” kata pemilik bengkel motosikal di Tuaran itu.

Setakat semalam, seramai 270,656 orang atau 63.5 peratus penduduk remaja di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala yang telah lengkap dos vaksin adalah seramai 419 orang.