Hutang, Tiada Kerja Punca Lelaki Nekad Terjun Bangunan

77

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Masalah ketiadaan pekerjaan dan beban hutang dikesan menjadi punca utama seorang lelaki terjun dari tingkat lima bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah, Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek mengaku bertindak demikian untuk membunuh diri dipercayai selepas tertekan dengan masalah yang dihadapinya.

“Dalam kejadian pukul 12.10 tengah hari itu, suspek bertindak naik ke tingkat lima bangunan tersebut menerusi kawasan parkir sebelum nekad terjun.

“Tindakan itu menyebabkan suspek terhempas di atas sebuah kenderaan Proton Saga yang baharu saja diparkirkan oleh seorang wanita ketika hendak menurunkan rakannya di situ,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Berikutan kejadian itu, suspek yang juga bapa kepada tiga anak itu patah pada kaki kiri dan bahu sebelah kanan selepas menerima rawatan di Hospital Besar Tawau.

Tambah Peter, kenderaan Proton Saga itu mengalami kerosakan pada bumbung dan cermin kereta manakala dua wanita yang menaikinya hanya cedera ringan.

Sementara itu, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 28, mendakwa hanya sempat melihat satu objek jatuh disusuli dentuman kuat seperti tayar pecah sebelum melihat seorang lelaki berada di atas bumbung sebuah Proton Saga.

“Ketika itu, saya bersama dua orang rakannya sedang berada di luar kedai untuk berehat seketika sebelum melihat seorang lelaki terjun dari atas bangunan.

“Kami bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 meter dari tempat berehat dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas bumbung kenderaan yang dinaiki dua wanita,” katanya.

Pada awalnya Ahmad menyangka lelaki tersebut sudah meninggal dunia, namun terkejut apabila mangsa menunjukkan tindak balas apabila dikejutkan.

Sebaik menyedari perkara itu, rakan Ahmad segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi memaklumkan perkara tersebut.

Difahamkan lelaki berkenaan mengalami masalah tekanan jiwa dan sering dikesan berada di bangunan komersial tersebut.

Menurut sumber lain, lelaki itu turut menjerit beberapa kali dan mendakwa hendak terjun dan membunuh diri.

“Namun, kami tidak menduga dia nekad untuk berbuat demikian sebelum jatuh ke atas sebuah kenderaan yang parkir di situ,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Lelaki Parah Terjun Dari Tingkat Lima Bangunan