Hukuman Sebatan Secara Berkesan Ke Atas Majikan Degil Lindungi PTI

Mustafar (tengah) bersama Pengarah Imigresen Sabah Datuk Musa Sulaiman (kiri) semasa sidang media berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pelaksanaan hukuman sebatan ke atas mana-mana majikan yang mengupah dan melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI) perlu dikuatkuasakan dengan lebih berkesan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Ketua Hakim Negara untuk memaklumkan kehendak masyarakat yang mahukan hukuan lebih berat serta sebatan perlu dikenakan kepada majikan yang mengupah dan melindungi pekerja PTI.

Beliau berkata, walaupun hukuman sebatan termaktub dalam Akta Imigresen 1959/63 namun, pelaksanaan hukuman sebatan masih kurang.

“Jika dilihat sepanjang tahun ini, daripada 1,400 majikan yang ditangkap kerana mengupah dan melindungi PTI seluruh Malaysia, hanya dua majikan dikenakan hukuman sebatan di mahkamah.

“Atas sebab itu, jabatan ini berharap mahkamah boleh mengenakan hukuman sebatan kepada majikan yang degil kerana mengupah dan melindungi PTI.

“Hukuman yang berat ini perlu dikenakan sebagi pengajaran kepada majikan lain untuk tidak membuat kesilapan yang sama,” katanya ketika Sidang Media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata hukuman sebatan ini memang akan dikenakan kepada majikan yang mengupah enam orang PTI dan ke atas. Namun, ia terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk mengenakan hukuman sebatan itu.

Walaupun sesetengah negara mengenakan hukuman sebatan secara mandatori tetapi di negara ini, pelaksanaan sebatan dikenakan atas budi bicara mahkamah.

Kemudian menyentuh tentang statistik tangkapan Jabatan Imigresen di Sabah sejak Januari hingga 27 Disember, Mustafar berkata, daripada 27,000 orang yang diperiksa sebanyak 4,800 PTI telah ditangkap melalui 1,371 operasi yang dijalankan sepanjang tahun ini.

Manakala, 62 majikan telah ditangkap kerana mengupah dan melindungi PTI.

Beliau berkata, setakat ini hampir 12,400 PTI yang ditahan di Sabah telah diusir pulang ke negara asal masing-masing. Daripada jumlah itu, hampir 9,800 warga Filipina dan 2,355 warga Indonesia.

Menurutnya, mereka juga berbincang dengan kedutaan Filipina dan Indonesia agar proses pengusiran dapat dilakukan dengan segera.

Seluruh Malaysia pula, daripada 190,000 orang yang diperiksa seramai 47,500 PTI telah ditangkap.

Ditanya tentang pesalah berulang, beliau berkata, memang ada pesalah berulang yang pada mulanya masuk negara ini sebagai pelancong dan kemudian tinggal melebihi tempoh dibenarkan untuk bekerja secara haram.

Apabila tertangkap dan diusir keluar, mereka akan menyeludup masuk kembali ke Sabah menerusi lorong tikus. Pesalah sebeginilah yang harus dikenakan hukuman berat dan sebatan.