Hujan, Ribut Petir Di Pantai Barat, Pedalaman Hingga Pertengahan Mei

KOTA KINABALU: Hujan dan ribut petir pada sebelah petang diramalkan berlaku di kawasan Pantai Barat dan Pedalaman Sabah sehingga tempoh peralihan monsun berakhir pada pertengahan Mei ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia, cawangan Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan atau ribut petir juga dijangka berlaku pada sebelah pagi di bahagian Sandakan dan Kudat sehingga Jumaat (13 Mei).

Kelmarin, hujan lebat mula berlaku pada awal pagi di bahagian Sandakan dan Kudat serta Ranau.

Pada sebelah petang sehingga awal malam hujan lebat bertumpu di bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan jumlah hujan tertinggi direkodkan di Stesen Meteorologi Sandakan 1117.4 mm dalam tempoh 24 jam.

Jumlah hujan harian yang tinggi juga dicerap di stesen Labuan (85.6 mm), Kota Kinabalu (58.4 mm), Keningau (46.4 mm). Stesen-stesen meteorologi utama lain juga mencerap hujan diantara 7.6 – 31.2 mm.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 088-413690 atau 088-413691 untuk mendapatkan maklumat atau ramalan cuaca terkini serta amaran dan nasihat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Maklumat ramalan, amaran dan nasihat terkini turut boleh diakses di laman sesawang rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia di laman www.met.gov.my.