Hubungan Sabah-Brunei Dalam Sektor Pelancongan Terus Diperkukuh

82
Mohd Asulhamhaidi (kiri) bersama Martin (dua kiri) dan William (dua kanan) serta pegawai kanan Royal Brunei.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Langkah Syarikat Penerbangan Royal Brunei melebarkan perkhidmatan RB link ke Sandakan dan Tawau dilihat akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Brunei Darussalam-Sabah.

Pemangku Konsul Jeneral Konsulat Brunei di Sabah Mohd Asulhamhaidi Md Ashrane berkata, hubungan antara Brunei dan Sabah amat baik terutama dalam bidang pendidikan dan pelancongan.

Hubungan baik itu harus dimanfaatkan bagi membawa kemasukan lebih ramai pelancong dari Brunei ke Sabah serta dari Sabah ke Brunei.

“Saya melihat inisiatif melebarkan perkhidmatan RB link ini amat baik selaras dengan keperluan masyarakat di Kepulauan Borneo.

“Ada juga yang bertanya saya secara langsung dan tidak langsung mengenai destinasi menarik di Brunei Darussalam. Masalah utama sebelum ini adalah laluan penerbangan hanya satu iaitu Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan.

“Dengan RB Link ini, akses perhubungan menjadi lebih mudah. Misalnya pelajar Brunei yang berada di Sandakan sebelum ini terpaksa transit ke Kota Kinabalu sebelum ke Brunei.

Gambar hiasan.

“Tetapi, dengan adanya RB Link ini, ia lebih mudah diakses dan mudah untuk mereka (pelajar) berulang-alik,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pengumuman Tarikh Operasi RB Link ke Sandakan dan Tawau, di sini pada Rabu.

Mohd Asulhamhaidi juga berharap pelebaran perkhidmatan Royal Brunei itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat Sabah supaya mengunakan penerbangan yang ditawarkan.

Ketika diminta mengulas mengenai langkah Indonesia memindahkan Ibu Negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur, beliau melihat ada potensi yang baik untuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan Indonesia.

Katanya, Brunei juga mempunyai hubungan baik dengan Indonesia.

Dalam majlis itu, Syarikat Penerbangan Royal Brunei mengumumkan akan memulakan operasi penerbangan dari Bandar Seri Begawan-Sandakan dan Sandakan-Bandar Seri Begawan bermula 28 Oktober ini.

Manakala, laluan Bandar Seri Begawan-Tawau dan Tawau-Bandar Seri Begawan akan bermula 11 November ini.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Penerbangan Royal Brunei Martin Aeberli berkata, penerbangan Royal Brunei akan beroperasi sebanyak enam kali seminggu bagi kedua-dua laluan baharu dibawah inisiatif RB Link itu.

Penerbangan RB Link menggunakan pesawat Malindo Air (ATR 72-600).

Dengan laluan baharu itu, penerbangan dibawah RB Link menghubungkan tujuh destinasi di Kepulauan Borneo termasuk Kota Kinabalu, Kuching, Sibu, Bintulu dan Balik Papan (Indonesia).

Mengulas lanjut, Martin berkata, jika Ibu Negara Indonesia sudah berpindah ke Kalimantan Timur menjelang 2024, syarikat penerbangan itu mungkin perlu meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kalimantan.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar William Baya selaku wakil kepada Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar.