Hubungan Erat ESSCOM-Penduduk Terus Diperkasa Menerusi Ibadah Korban

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Hubungan erat antara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan penduduk terus diperkasa menerusi ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiadha, di Kampung Batu Payung, di sini, hari ini.

Penolong Ketua Kompeni ESSCOM Batu 13 dan Unit 19 Rejimen Askar Melayu DiRaja (MEK), Leftenan Mohd Ikmar Idrus berkata, terdahulu mereka memilih kampung berkenaan sebagai lokasi penyembelihan seekor lembu yang disumbangkan oleh seorang ahli dewan undangan negeri kepada pihaknya.

“Kami mengambil keputusan untuk melakukan penyembelihan lembu tersebut di sini, bersama penduduk kampung bagi menghargai kerjasama dan penerimaan mereka terhadap ESSCOM selama ini.

“Ia adalah kesinambungan  aktiviti kemasyarakatan ESSCOM dan ini bukanlah kerjasama pertama yang dilakukan,” katanya kepada media, hari ini.

Tambah Mohd Ikmar, sebelum ini, pihaknya kerap mengadakan kerjasama dengan penduduk kampung termasuk aktiviti pembersihan, futsal, bola sepak dan sebagainya.

“Saya melihat kerjasama sebegini penting dalam mengeratkan hubungan antara ESSCOM dengan penduduk.

“Ini termasuk penyaluran maklumat sebarang bentuk kejadian jenayah khususnya di kawasan perairan membabitkan penjenayah rentas sempadan,” katanya

Seramai seorang pegawai dan 20 anggota tentera hadir hari ini bagi memudahkan urusan penyembelihan dan melapah daging bersama penduduk kampung.

Menurut Mohd Ikmar, sebanyak 40 bungkus daging akan diagihkan kepada golongan asnaf di sini, manakala selebihnya akan dibawa pulang ke 19 RAMD (MEK) Kem Circle Farm, Batu 13, untuk majlis jamuan hari raya di sana.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu Payung, Amat Salleh berkata, pihaknya berbesar hati apabila dipilih menjadi lokasi penyembelihan dan juga menerima sumbangan daging korban daripada ESSCOM.

“Sudah tentu kami berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa termasuk membabitkan aktiviti sosial sebegini,” katanya.

Amat turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penderma kerana turut menyumbang tiga ekor lembu lagi kepada penduduk termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Batu Payung.