Hotel Four Points Tutup Operasi

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung melahirkan rasa sedihnya susulan penutupan operasi Hotel Four Points By Sheraton Sandakan.

Sejak Rabu lalu, sepucuk surat mengenai penutupan operasi hotel itu tular di media sosial dengan difahamkan sekurang-kurangnya 150 kakitangan hilang pekerjaan.

Ming Fung yang melawat hotel itu semalam untuk mengetahui keadaan serta nasib pekerja berharap rakyat mengambil iktibar daripada krisis pandemik Covid-19 untuk mencari peluang baharu.

Katanya, pandemik berkenaan telah mengganggu pelbagai rancangan dan kehidupan rakyat dengan banyak industri ditutup, manakala penduduk terpaksa mengikat perut berdepan kesukaran.

“Pepatah Cina ada mengatakan, ‘rencana tidak dapat mengikuti perubahan’. Ia petikan sesuai ketika kita berjuang untuk memerangi pandemik ini kerana perkara berubah setiap saat.

“Ada sekelompok orang lain pula selalu mencari peluang perniagaan ketika krisis dan menganggap krisis ini sebagai langkah pemulihan untuk mencipta peluang baharu perniagaan,” katanya.

Ming Fung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat berkata, beliau sudah tinggal lama di daerah ini dan menyaksikan perkembangan serta perubahan kawasan pusat bandar Sandakan sejak zaman kanak-kanak.

“Dari perobohan bangunan pasar basah dan kering yang lama dan penambakan tapak tanah hingga pembinaan bangunan komersial termasuk Pasar Umum Sandakan, Harbour Square, Harbour Mall dan Hotel Four Points By Sheraton Sandakan,” katanya

(Visited 2 times, 2 visits today)