Hospital Labuan Akan Dinaiktaraf Hospital Pakar Major

LABUAN: Hospital umum, Hospital Nucleus Labuan akan dinaik-taraf sebagai hospital pakar major dalam masa dua hingga tiga tahun ini, berikutan keupayaannya dan permintaan pesakit yang semakin bertambah.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye  berkata Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan harus bersedia dalam pelbagai aspek termasuklah penambahan sumber manusia dan kepelbagaian kepakaran bagi melengkapkan hospital berkenaan.

“Dalam menuju penaiktarafan hospital ini kepada hospital pakar major, harus juga difikirkan dua perkara utama iaitu pertambahan kakitangan dan pertambahan kakitangan kepakaran dalam pelbagai bidang yang belum ada disediakan dihospital ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas dalam Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog bersama warga Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan dan hospital hari ini.

Beliau juga menekankan keperluan penaik-tarafan peralatan-peralatan bagi memenuhi kehendak sebagai hospital pakar major.

Katanya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan juga harus mengajukan cadangan penambahan-baikan kemudahan awam dan infrastruktur kepada pihak berkuasa tempatan berikutan kepada peningkatan bilangan pelatih-pelatih perkhidmatan kesihatan perubatan dan awam dimasa hadapan.

“Sudah semestinya akan ramai pelatih-pelatih perkhidmatan kesihatan pelbagai bidang akan menjalani latihan di hospital ini sebaik sahaja penaiktarafan bermula, dan mereka ini memerlukan kemudahan tempat tinggal dan selain untuk beribadah,” katanya.

Boon Chye juga berkata penjagaan awal kesihatan (primary care) oleh kakitangan kesihatan Labuan telah berjaya menepati piawaian berikutan pelan strategik yang telah dimulakan jabatan itu.

Terdahulu, pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan Dr Ismuni Bohari memberi taklimat berhubung kes-kes penyakit berjangkit seperti denggi dan lain-lain yang melihat kepada penurunan drastik.

Katanya juga dengan penguatkuasaan dan pengawalan penyakit pelbagai bawaan telah menyumbang kepada kejayaan jabatan itu mengelakkan sebarang penularan.

Timbalan Menteri Kesihatan itu juga sempat berdialog dengan kakitangan kesihatan dalam pelbagai isu kebajikan kakitangan dan  penaikan-taraf  unit kecemasan hospital, selain meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat dihospital berkenaan.