Hospital Duchess of Kent Perlu Tambahan Mesin Dialisis

SANDAKAN: Mesin dialisis di Hospital Duchess of Kent (HDOK) perlu ditambah bagi memendekkan tempoh menunggu pesakit buah pinggang untuk mendapatkan rawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura Calvin Chong Ket Kiun berkata, pesakit buah pinggang di hospital berkenaan terpaksa menunggu sehingga tiga bulan bagi mendapatkan rawatan dialisis disebabkan mesin sedia ada tidak mencukupi.

Katanya, berikutan aduan ketidakcukupan mesin di hospital itu, Chong mengadakan lawatan ke pusat dialisis berkenaan dan mendapati isu kekurangan mesin itu bukan perkara baru.

“Pusat dialisis itu kini mempunyai 28 mesin untuk pesakit yang mengalami sakit buah pinggang menjalani dialisis. Setiap pesakit perlu menggunakan mesin dialisis itu tiga kali seminggu dan setiap pesakit memerlukan 15 minit setiap satu sesi.

“Pada masa ini, 12 pesakit masih dalam senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan dialisis. Ada antara mereka yang sudah menunggu selama tiga bulan sebelum dapat menggunakan mesin dialisis berkenaan. Jadi, saya melihat terdapat keperluan menambah mesin dialisis di pusat ini agar pesakit boleh mendapatkan rawatan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan Persekutuan bagi menambah 10 lagi mesin dialisis di hospital ini disamping memohon menambah kakitangan di pusat dialisis berkenaan.
Beliau berharap, kementerian itu akan meluluskan permohonan berkenaan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menambahbaik perkhidmatan kesihatan di Sandakan.