Hospital Besar Tawau Amat Perlukan Mesin Mamogram

111
HAMISA menggesa penempatan mesin mamogram di Hospital Besar Tawau bagi memudahkan rawatan dan pemeriksaan pesakit kanser payudara yang semakin meningkat di Tawau dan daerah berhampiran.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat menggesa Kementerian Kesihatan menempatkan mesin mamogram di Hospital Tawau bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kanser payudara.

Beliau berkata, mesin berkenaan telah dijanjikan sejak tahun lalu, namun tidak pernah sampai walaupun jumlah pesakit kini semakin bertambah.

“Sebenarnya saya agak terkilan apabila mesin yang dijanjikan dari tahun lepas, masih lagi belum diterima.

“Oleh itu, saya berharap perkara ini mendapat perhatian serius dari pihak berkaitan,” katanya kepada media di sini hari ini.

HAMISA (tengah) ketika merasmikan dan melepaskan peserta Pinktober Run 2019 di Padang Bandaran Tawau.

Menurut Hamisa, mesin tersebut penting memandangkan Tawau menjadi tumpuan kepada pesakit kanser payudara dari beberapa daerah berhampiran seperti, Kunak, Semporna dan Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini, mereka perlu ke Kota Kinabalu untuk melakukan rawatan dan pemeriksaan penyakit itu.

SEBAHAGIAN orang ramai yang menyertai Pinktober Run 2019.

“Keadaan itu cukup sukar selain tidak semua pesakit mampu ke sana dan menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Justeru Hamisa menegaskan beliau akan mengusulkan masalah dan keperluan mesin mamogram di Tawau dalam sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Terdahulu, beliau merasmikan dan menyertai Program Pinktober Run 2019 For Breast Cancer anjuran Kinabalu Pink Ribbon.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Dianggarkan hampir 1,500 orang menyertai larian sejauh empat kilometer itu yang bermula dari Padang Bandaran Tawau.