Hormati Jalur Gemilang Dengan Sebaiknya – Jaujan

113

SEMPORNA: Rakyat Sabah disaran agar menghormati Jalur Gemilang yang merupakan lambang kedaulatan negara dengan tidak meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan rakyat Malaysia maka, ia harus dihormati dan tidak diletakkan sesuka hati bagi mengelakkan ia dipijak.

“Saya setuju cadangan untuk memperkenalkan cara pengibaran Jalur Gemilang secara betul kerana ianya satu penghormatan.

“Bendera ini bukan saja menjadi kebanggaan kita tetapi juga kerukunan sesebuah negara dan bangsa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Sayangi Sabah Selamat Sejahtera peringkat daerah Semporna, di sini pada Sabtu.

Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan ini berkata, penghinaan terhadap bendera Malaysia bermakna sama seperti menghina maruah diri sendiri.

Maka, rakyat di semua peringkat perlu menghormati serta menikmati erti kemerdekaan yang dicapai pada hari ini.

“Bukan senang untuk reka Jalur Gemilang, ia melibatkan pelbagai makna tersirat dalam warna, jalur, bintang.

“Kita harus menjaga bendera negara kita sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran ramai orang awam dalam sambutan kemerdekaan pada masa ini membuktikan rakyat Malaysia mempunyai kesedaran tinggi atas penghormatan kepada sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya, sambutan hari kemerdekaan adalah satu khazanah yang tidak ternilai kepada setiap insan rakyat Malaysia dan ianya harus menjadi kebanggaan semua.

“Sambutan ini perlu terus diadakan agar mempunyai kelangsungan selamanya, bukan senang pemimpin kita terdahulu berjuang untuk membebaskan Malaysia daripada penjajahan seterusnya mencapai kemerdekaan.

“Rakyat hari ini perlu menikmati kemerdekaan ini dengan perpaduan, bersama-sama membantu kerajaan tanpa wujud sebarang persengketaan seterusnya membangunkan Malaysia, khususnya Sabah dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi sebagai sebuah negeri atau negara berbilang kaum,” katanya.

Turut hadir dalam sambutan itu adalah Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong.