‘Honey Lush’ Taruhan Terbaru Usahawan Muda

KOTA KINABALU: Seorang usahawan muda berani mengambil risiko dengan membuka francais perniagaan makanan dan minuman dipanggil Honey Lush, ketika banyak perniagaan terjejas dan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Keberanian Hafeez Almudin, 33, bagaimanapun membuahkan hasil apabila jenama francaisnya kini berkembang maju dengan pembukaan sembilan cawangan di seluruh Sabah dalam masa yang singkat.

Usahawan tempatan itu memulakan perniagaan francais Honey Lush pada bulan April tahun ini, di mana ramai pengusaha kedai terpaksa menutup perniagaan yang diusahakan berikutan perintah kawalan pergerakan.

“Idea di sebalik Honey Lush ini bermula dengan inspirasi untuk membawa rasa makanan terbaru ke Sabah, terutamanya pencuci mulut. Kami menjadi (francais) yang pertama menawarkan pencuci mulut yang menggabungkan ‘honeycomb’ dengan aiskrim hidangan lembut.

“Pencuci mulut kami menjadi viral dan orang tempatan sangat menyukainya. Walaupun tidak ramai yang datang ke kedai, kami tetap mendapat pesanan banyak melalui aplikasi Grab dan Food Panda,” kata Hafeez ketika ditemui di pelancaran pembukaan cawangan Honey Lush di Putatan, hari ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, hadir melancarkan cawangan ke-enam Honey Lush tersebut yang diurus oleh pasangan suami isteri iaitu Roy Fadly Evaristus and Amanda Jane Jonimun.

Menghidangkan pencuci mulut berasaskan madu, Honey Lush mempunyai lima jenis perisa aiskrim dan lima jenis perisa minuman dalam menu mereka pada ketika ini.

Hafeez berkata pasukan penyelidikan dan pembangunan Honey Lush kini sedang dalam usaha mencipta perisa aiskrim baru seperti aiskrim picagari coklat dan aiskrim bakar bagi memperbanyakan menu pilihan.

“Mudah-mudahan produk pencuci mulut perisa baru ini akan dilancarkan pada bulan Disember akan datang,” katanya, sambil menambah Honey Lush turut berhasrat untuk mengembangkan perniagaan francais ke negeri Sarawak dan negara Brunei.

Sementara itu, Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, memuji keberanian Hafeez untuk memulakan perniagaan francais ketika kebanyakan perniagaan masih bergelut dengan kemelesetan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

“Keputusan ini mencerminkan keyakinan dia terhadap pemulihan ekonomi yang cepat. Sesungguhnya, sektor makanan dan minuman memainkan peranan penting dalam industri pelancongan. Pembukaan francais tempatan membolehkan pelancong menikmati dan merasai produk makanan dan minuman keluaran tempatan.

“Oleh itu, saya berharap dengan usaha gigih dan usaha promosi yang berkesan, kita dapat menyaksikan pembukaan cawangan francais tempatan Honey Lush di negeri lain dan akhirnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau juga percaya kreativiti dan inovasi keusahawanan Hafeez akan memberi inspirasi kepada belia Sabah untuk menceburi bidang perniagaan yang berjaya.