Hishammuddin Ditegur; Jangan Pandang Rendah Orang Sabah

Loretto Padua

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah menyelar kenyataan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein yang dikatakan sebagai tidak bijak kerana kurang sensitif dengan perasaan rakyat Sabah tentang isu keselamatan dan pertahanan negeri itu.

Menurut setiausaha agung Warisan Loretto Padua Jr., kenyataan Hishammuddin mengenai pengagihan peruntukkan keselamatan untuk Johor dan Sabah serta ketidak-hadiran ‘nasionalis’ Sabah dibarisan hadapan ketika ‘Tragedi Tanduo’ jelas membuktikan bahawa beliau tidak mempedulikan perasaan rakyat Sabah berkaitan dengan isu keselamatan.

“Walaupun Johor (yang diwakili oleh Malaya) dan Sabah masing-masing berada didalam Persekutuan Malaysia, kita tahu melalui sejarah bahawa antara sebab utama mengapa Sabah bersetuju untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Sarawak dan Singapura ialah atas faktor keselamatan serta ancaman komunis pada masa itu,” kata Padua dalam satu kenyataan Jumaat.

“Maka perbandingan yang dibuat oleh Hishammuddin adalah tidak tepat; beliau sepatutnya membuat perbandingan pengagihan peruntukkan ketenteraan diantara Sabah dan Semenanjung Malaysia (Malaya) yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan Johor.

Hishammuddin sepatutnya membuat perbandingan pengagihan peruntukkan ketenteraan diantara Sabah dan Semenanjung Malaysia (Malaya) dan bukan antara Sabah dan Johor.

“Adakah Hishammuddin sengaja membuat perbandingan (Sabah-Johor) tersebut,” tanya Padua.

Hishammuddin dilaporkan berkata bahawa dia merasa ironik bila Sabah diperuntukkan asset-asset ketenteraan jauh lebih banyak daripada yang diberikan kepada Johor.

Dia juga berkata untuk membolehkan kita mengetahui mengenai pengagihan peruntukkan ketenteraan antara Sabah – Semenanjung Malaysia ini, sudah pastinya akan meminta jawapannya sendiri pada sesi mesyuarat Parlimen yang akan datang.

Padua juga berkata bahawa beliau bersedih kerana Hishammuddin langsung tidak mahu memahami perasaan rakyat Sabah berkaitan dengan ancaman dari luar di negeri itu.

“Saya bersetuju dengan kenyataan menteri yang mengatakan bahawa pengorbanan pasukan keselamatan dari Semenanjung Malaysia ketika ‘Tragedi Tanduo’ pada 2013 tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Tetapi saya berpendapat bahawa ianya adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah apabila beliau mempersoalkan ketidak-hadiran dibarisan hadapan oleh mereka yang melaungkan slogan “Sabahan untuk Sabah” ketika tragedi tersebut,” tambah Padua.

Padua bertanyakan kepada Hishammuddin, bagaimanakah rakyat biasa Sabah boleh dibenarkan untuk berada di barisan hadapan pada masa itu seperti mana yang beliau persoalkan itu.

Gambar arkib menunjukkan ‘Malaysian Border Scouts’ yang terdiri dari orang asal Sabah dan Sarawak pada suatu ketika dulu. – Gambar dari internet

Padua berpendapat bahawa pengwujudan semula rejimen “Sabah Border Scout” dalam Angkatan Tentera Malaysia untuk mempertahankan negeri itu adalah amat perlu agar rakyat Sabah tidak terus-menerus disindir seperti bergantung semata-mata dengan rakyat Malaysia bukan Sabah apabila isu keselamatan negeri itu dibincangkan.

“Saya telahpun mengutarakan cadangan menghidupkan semula rejimen “Sabah Border Scout” ini pada bulan Januari lepas kerana kita mahu rakyat Sabah berbangga dengan kehadiran semula rejimen kita ini yang amat disegani suatu ketika dahulu,”kata Padua.

“Rejimen ini pernah diberi pujian oleh pasukan-pasukan elit dunia seperti SAS dan Gurkha maka bayangkanlah jika rejimen ini dihidupkan semula; adakah Hishammuddin masih berani untuk menyindir rakyat Sabah yang melaungkan slogan “Sabahan untuk Sabah?”

“Oleh yang demikian, berikutan dengan penghinaan yang dibuat oleh Hishammuddin ini, maka saya akan membawa ke perhatian majlis tertinggi parti cadangan untuk mengadakan pungutan petisyen seluruh Sabah mengenai gesaan untuk menghidupkan semula rejimen Sabah ini dalam ATM,” katanya lagi.

Mengenai gesaan Hishammuddin agar isu keselamatan di Sabah tidak dipolitikkan, Padua berpendapat bahawa ianya semua berpunca dari BN sendiri.