Hilang Ketika Menangkap Ikan, Lelaki Ditemui Mati

BEAUFORT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di muara sungai di Kampung Lubok Weston, di sini, sejak dua hari lalu, ditemui lemas.

Mayat Zulkifli Jambul, 43, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), 4.14 petang tadi, kira-kira 1.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata mangsa ditemui Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok bersama bomba dan agensi keselamatan lain yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan jam 5 petang.

Kehilangan mangsa dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort jam 8.22 pagi semalam, sebaik disedari keluarganya.