Hilang Kepercayaan, 21 Pemuda Upko Bahagian Ranau Keluar Parti

3227
Jackson, duduk dua dari kanan, bersama Pemuda Upko Ranau yang bertindak keluar parti pada Rabu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti mendorong 21 daripada 29 orang pemimpin dan ahli Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Ranau mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, kesemua mereka akan mengambil pendekatan mesra kerajaan walaupun tidak mempunyai sebarang parti.

Ketua Pemuda Upko Ranau Jackson Musi mengumumkan perkara itu selepas Mesyuarat Khas Pemuda Upko Ranau, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, masalah dalaman parti sejak 2015 diikuti tindakan kepimpinan atasan yang seolah-olah mengabaikan Pemuda Upko Ranau antara faktor yang menyebabkan mereka membuat keputusan sebegitu.

“Sebetulnya kami tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Presiden Upko) mahupun dengan Abidin Madingkir (Naib Presiden Upko).

“Kami keluar Upko bukan sebab mempunyai kepentingan lain atau ada apa-apa kami hajati. Kami keluar kerana sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang bersifat memilih bulu.

“Bila sudah hilang kepercayaan maka, kami tidak mahu terus menggalas tanggungjawab berjuang dalam parti yang kami sendiri tidak yakin.

“Di Ranau, saya melihat kekuatan Upko tidak lagi seperti dahulu. Pemimpin yang ada hanya menjaga kawasannya sahaja. Perkara sebegitulah yang mendorong ramai penyokong di peringkat akar umbi mula keluar meninggalkan parti,” katanya.

Turut menyertai Jackson meninggalkan parti itu adalah dua Naib Ketua Pemuda, setiausaha, penolong setiausaha dan bendahari serta pemuda Upko yang lain.

Kesemua mereka akan menghantar surat perletakan jawatan secara rasmi dalam masa terdekat ini.

Jakson berkata, walaupun tidak menyokong tindakan Madius meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun itu bukan asas kepada tindakan mereka keluar parti.

Katanya, masalah dalaman dan ketidaksefahaman dalam parti yang berlarutan sejak 2015 membuatkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

Menurutnya, tindakan Naib Presiden Upko Masiung Banah keluar dari Upko pada 24 November lalu menguatkan lagi alasan mereka untuk meninggalkan parti.

“Saya menjadikan Masiung sebagai idola saya dalam Upko. Apabila Masiung, seorang yang begitu lantang keluar dari Upko, itu memberi keyakinan kepada kami untuk mengambil langkah meninggalkan parti secara baik dan menjadi mesra kerajaan,” ujarnya.

Bagaimanapun hasrat meninggalkan parti ini sudah difikirkan sebelum Masiung bertindak keluar parti lagi, jelasnya.

Jackson berkata, Upko hanya dapat diperbaiki sekiranya parti itu dijenamakan semula dan perpaduan dalam parti diperkukuhkan.

Masalah dalaman parti yang berlaku sejak 2015 itu akan menyebabkan perpecahan dalaman sekiranya Upko tidak ditadbir urus dengan sebaiknya.

Beliau menjangka akan ada lebih ramai Pemuda Upko akan keluar parti selepas ini.