Hentikan Segara Kegiatan Mesin Slot Di Sabah

Oleh PASTOR CORNELIUS HENRY
KOMEN: Baru-baru ini, telah dilaporkan bahawa pihak polis telah mematahkan aktiviti perjudian haram di negeri ini menerusi Ops Limau.

Kami memuji Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dan pasukannya kerana mengambil langkah proaktif dan berkesan untuk memerang penyakit ini dalam masyarakat kita.

Kami menghargai usaha keras yang dilakukan beliau dan berterima kasih atas semua perkhidmatan yang dilakukan secara berterusan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Walau bagaimanapun, kegiatan perjudian haram bukanlah satu-satunya gangguan dalam masyarakat kita. Pusat perjudian berlesen juga sebenarnya memberikan kesan mudarat yang sama kepada masyarakat dan kita perlu kerajaan untuk bertindak dalam hal ini.

Rakyat sudah bersuara – kita tidak mahu negeri Sabah menjadi dikenali sebagai ‘negeri Kasino’ atau destinasi perjudian untuk para pelancong. Pada kiraan terakhir, terdapat lebih dari 40 kelab yang mengendalikan lebih dari 400 mesin slot.

Kelab-kelab ini mudah diakses oleh orang awam dan peminjam haram atau juga dikenali sebagai ”Ah Long” yang sentiasa mencari mangsa dari kalangan penjudi tegar di premis perjudian tersebut.

Walaupun terdapat bukti peningkatan kes-kes muflis, tekanan emosi dan psikologi keatas penjudi tegar dan ahli keluarga mereka, keretakan keluarga dalam masyarakat, namun tiada langkah berkesan telah diperkenalkan untuk menangani masalah ini. Kami mendesak agar kerajaan menilai semula halatuju dasar dalam perkara ini.

Bajet 2019 telah menaikkan cukai, fi dan levi ke atas sektor perjudian. Memang tidak dinafikan bahawa ini akan menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan tetapi kita semua tahu kesan buruk dan kerosakannya jauh lebih besar berbanding kesan positif kepada masyarakat kita.

Bilakah kerajaan akan menghentikan pembaharuan bagi lesen yang sedia ada? Kami mencadangkan agar ada garis masa untuk pembanterasan penuh kegiatan perjudian berlesen di negeri Sabah. Orang ramai terutamanya di Penampang, Putatan dan Inanam telah menyuarakan rasa tidak senang terhadap kegiatan perjudian ini.

Majlis Daerah juga harus diarahkan untuk menghentikan pembaharuan lesen perniagaan sedia ada bagi yang melakukan kegiatan perjudian tersebut.

Dalam tahun baru ini dengan kerajaan yang baru, kita semua berharap untuk yang terbaik dalam hal kesihatan dan kekayaan negeri kita. Rakyat ingin melihat perubahan ketara dalam dasar ke arah kemakmuran dan rancangan jitu ke arah transformasi masyarakat kita. Kami mahu melihat dasar yang akan mendorong rakyat ke arah pendekatan yang bertanggungjawab dan mampan dalam hal pelaburan beretika.

Rakyat perlu digalakkan dengan insentif untuk penyimpanan dan insentif untuk pelaburan yang lebih baik. Terus membenarkan kegiatan perjudian di kalangan masyarakat walaupun terdapat seruan untuk menghentikan kegiatan perjudian adalah bertentangan dengan harapan rakyat untuk perubahan. Ini adalah satu petanda adanya dasar awam yang tidak sihat.

Apakah budaya yang kita mahu tanamkan dalam masyarakat kita? Kita tidak mahu budaya perjudian digalakkan dan ianya menjadi tanda yang sinonim dengan negeri Sabah.

* Pastor Cornelius Henry ialah Ketua Pesekutuan Pastor Bahasa Malaysia Kota Kinabalu