Hentikan Penyeludupan PATI Di Kawasan Esszone

AHMAD FUAD

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Ahmad Fuad Othman sekali lagi memberi amaran keras kepada tekong-tekong darat agar tidak melakukan penyeludupan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Beliau berkata, aktiviti penyeludupan itu termasuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) atau rokok mahupun syabu.

Katanya, Esscom telah mengenal pasti beberapa individu yang bertindak sebagai tekong-tekong darat dan dipercayai terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, tekong darat yang berada di Esszone terutama di kawasan hotspot diingatkan supaya menghentikan aktiviti penyeludupan ini. Pihak Esscom tidak teragak-agak mendakwa sesiapa sahaja tertangkap ketika melakukan aktiviti jenayah sebegini.

“Kalau ada lagi aktiviti ini berlaku, tolong hentikan. Saya bagi amaran serius, kita telah pun mengenal pasti beberapa individu dalam senarai Esscom untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, Esscom melalui OP Cegah Pati (OCP) akan sentiasa mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan dan rondaan sama ada melalui laut, darat dan udara terutamanya di kawasan-kawasan hotspot.

“Esscom akan menjalankan operasi berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang kita ada buat masa ini dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada semua lapisan masyarakat agar melaporkan dengan kadar segera kepada pusat operasi (PUSOP) Esscom ataupun kepada ibu pejabat polis yang berhampiran sekiranya mendapati terdapat aktiviti penyeludupan PATI di kawasan masing-masing.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat amatlah dialu-alukan dalam usaha untuk mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan di Pantai Timur Sabah sama ada penyeludupan migran atau PATI mahupun rokok dan syabu,” katanya.