Henti Keluar Lesen Judi, Sabah Tidak Benarkan Perjudian – Shafie Apdal

2146
Kerajaan Sabah tidak pernah mengeluarkan lesen atau membenarkan sebarang aktiviti perjudian di negeri ini termasuk mesin slot, kata Ketua Menteri ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta dalam Dialog Bersama Masyarakat Peniaga Cina di Sandakan pada Jumaat.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan memberitahu Kementerian Kewangan (Persekutuan)n agar tidak meluluskan lagi sebarang permohonan lesen perjudian di Sabah.

Ketua Menteri menegaskan, sejak memerintah, kerajaan Sabah tidak pernah mengeluarkan lesen atau membenarkan sebarang aktiviti perjudian di negeri ini termasuk mesin slot.

“Untuk perjudian jelas saya tidak membenarkannya di Sabah tetapi Kementerian Kewangan (di Putrajaya) masih boleh keluarkan.

“Saya akan berjumpa Lim Guan Eng selepas ini untuk meminta beliau menghentikan pemberian lesen,” katanya.

Shafie berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta dalam Dialog Bersama Masyarakat Peniaga Cina di sini hari ini.

Beliau menegaskan, keputusan tersebut dibuat untuk memastikan rakyat tidak terjebak dengan perjudian lebih-lebih lagi golongan keluarga berpendapatan rendah sehingga boleh menjejaskan kehidupan mereka.

“Bila orang gaji RM2,000 atau RM3,000 saya tidak mahu mereka belanjakan untuk mesin slot nanti anak-anak tidak cukup makan.

“Kalau mahu main mahjong boleh tapi tanpa libatkan wang, saya tahu mahjong penting di tempat saya pun ada tetapi bukan melibatkan perjudian, tiada kasino saya tidak akan luluskan, kalau kamu tahu perkara ini berlaku hantar mesej kepada nombor saya,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Say No To Gambling, Inter-Faith Groups Tell Sabah, Putrajaya